KUALA LUMPUR 8 Ogos – Annum Bhd, syarikat yang berada di bawah status Nota Amalan 17 (PN17), bakal dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 12 Ogos ini selepas rayuan untuk lanjutan tempoh menghantar pelan pemulihan ditolak oleh Bursa Securities.
Pada April lalu, Annum telah mengemukakan permohonan bagi lanjutan masa untuk menghantar pelan regularisasinya.
Namun, permohonan itu ditolak oleh Bursa Securities pada Mei, yang turut memaklumkan syarikat akan dinyahsenarai kecuali jika rayuan dikemukakan.
Anmum kemudiannya memfailkan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan, namun ditolak Bursa Securities dalam pengumuman yang dibuat semalam.
Annum dikategorikan sebagai entiti PN17 pada Mei 2024 selepas juruaudit luarnya, SBY Partners PLT, mengeluarkan penyata “disclaimer of opinion” ke atas penyata kewangan diaudit bagi tempoh 18 bulan berakhir 30 Jun 2023.
Penolakan itu berpunca daripada kegagalan juruaudit memperoleh bukti mencukupi untuk mengesahkan aset kumpulan, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kedudukan kewangannya.
Nyahsenarai ini dijangka menamatkan kehadiran Annum di Pasaran Utama Bursa Malaysia, melainkan syarikat itu berjaya mengemukakan rayuan selanjutnya atau tindakan lain yang diterima oleh Bursa sebelum tarikh tersebut. - DagangNews.com








