KUALA LUMPUR 21 April – Raya Airways menambah kekerapan laluan kargo Kuala Lumpur–Zhengzhou (KUL–CGO) kepada enam penerbangan seminggu, sejajar usaha memperkukuh jaringan perdagangan antara Malaysia dan China di bawah kerangka Air Silk Road, inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Pelaksanaan itu diputuskan dalam satu pertemuan bersama delegasi dari China Henan Aviation Group dan China Logistics Group Global Express Supply Chain Management Co Ltd yang berlangsung baru-baru ini.
Laluan tersebut mula beroperasi sejak September 2024 dengan tiga penerbangan seminggu, kini berkembang pesat sebagai pemacu utama bagi e-dagang rentas sempadan.
Peningkatan kekerapan itu dijangka meningkatkan akses pasaran dan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dua hala.

Pengarah Uruan Kumpulan Raya Airways, Mohamad Najib Ishak berkata, penambahan frekuensi itu bukan hanya soal operasi. Ia mencerminkan perkembangan perdagangan antara kedua-dua negara, dengan China sebagai salah satu rakan dagang utama Malaysia.
"Kami komited untuk menghubungkan ekonomi, memperkasa perniagaan, dan menyediakan perkhidmatan kargo udara yang efisien dan mampan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kerjasama erat dengan Balance Freight Sdn Bhd turut menjadi tunjang utama kejayaan laluan itu.
Gabungan kepakaran kedua-dua pihak dalam menawarkan rumusan logistik menyeluruh terus mengukuhkan keupayaan operasi serantau Raya Airways.
“Kami amat menghargai kerjasama bersama Balance Freight. Komitmen dan kepakaran mereka memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran serta kebolehskalaan laluan strategik ini," katanya.
Langkah terbaharu itu sejajar dengan usaha berterusan Raya Airways bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor kargo udara serantau dengan menawarkan perkhidmatan logistik berteraskan pelanggan yang inovatif dan berdaya saing.- DagangNews.com








