Rapid KL lanjut waktu operasi rel, bas hingga 2 pagi sempena ambang tahun baharu 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rapid KL lanjut waktu operasi rel, bas hingga 2 pagi sempena ambang tahun baharu 2026

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 29 Dis – Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel sehingga 2 pagi sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2026 pada 31 Disember 2025. 

 

Manakala perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, beberapa laluan bas terpilih serta Rapid KL On-Demand (ROD) akan beroperasi sehingga 2:30 pagi pada 1 Januari 2026.

 

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan berkata, langkah itu bertujuan memastikan pergerakan penumpang selepas tamat acara sambutan berjalan dengan lebih selamat, terkawal dan teratur, di samping membantu pengguna merancang perjalanan pulang dengan lebih baik.

 

“Kali ini, lanjutan operasi melibatkan 20 stesen rel, tujuh stesen BRT, 21 laluan bas utama dan perantara Rapid KL serta sembilan zon ROD, dengan lebih 3,000 petugas barisan hadapan Rapid KL terdiri daripada Polis Bantuan dan kakitangan operasi akan bertugas sepanjang malam ambang tahun baharu ini,” menurut kenyataan itu.

 

Bagi Laluan Kelana Jaya, stesen yang terlibat ialah Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC, Ampang Park, Kampung Baru dan USJ 7. Laluan Ampang/Sri Petaling pula melibatkan Hang Tuah, Masjid Jamek dan Maluri, manakala perkhidmatan Monorel melibatkan Bukit Bintang dan Hang Tuah.

 

Rapid KL turut memaklumkan Laluan Kajang melibatkan stesen Pasar Seni, Tun Razak Exchange, Bukit Bintang, Maluri, Mutiara Damansara dan Cochrane, sementara Laluan Putrajaya melibatkan Tun Razak Exchange, Persiaran KLCC dan Ampang Park.

 

Untuk BRT Laluan Sunway yang beroperasi sehingga 2:30 pagi, stesen terlibat ialah Sunway-Setia Jaya, Mentari, Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash, South Quay dan USJ7.

 

Stesen selain yang disenaraikan akan menamatkan operasi seperti biasa, namun pengguna masih dibenarkan keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.

 

“Bagi memastikan keselesaan pengguna, kekerapan tren akan dipertingkatkan di semua laluan rel bermula 7:30 malam, 31 Disember hingga 2:00 pagi pada 1 Januari. Waktu perkhidmatan bagi beberapa laluan bas terpilih dan ROD turut dilanjutkan hingga pukul 2:30 pagi,” tambah kenyataan itu.

 

Antara laluan bas terlibat ialah Laluan 173 (Taman Jasa Utama–Lebuh Ampang), Laluan 190 (Desa Sri Hartamas–Lin Ho Jalan Lekiu) dan Laluan 250 (Stesen LRT Wangsa Maju–Lebuh Ampang).

 

Orang ramai disaran mengikuti saluran media sosial rasmi Rapid KL serta memuat turun aplikasi MyRapid PULSE bagi mendapatkan maklumat terkini dan memudahkan perancangan perjalanan. - DagangNews.com