Ranhill SAJ cenderung guna unit simpanan air modular luar sungai tampung permintaan pusat data Johor – BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ranhill SAJ cenderung guna unit simpanan air modular luar sungai tampung permintaan pusat data Johor – BIMB Securities

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 31 Dis – Ranhill SAJ Sdn Bhd, pengendali air tunggal Johor, dilihat cenderung memilih penggunaan unit simpanan air modular luar sungai sebagai penyelesaian jangka terdekat bagi memenuhi peningkatan permintaan air daripada pusat data di negeri itu.

 

BIMB Securities berkata dalam satu nota penyelidikan, pendekatan itu mencerminkan langkah berhati-hati Ranhill SAJ, anak syarikat Ranhill Utilities Bhd, berikutan penggunaan sebenar air oleh pusat data masih jauh lebih rendah berbanding kapasiti yang sebelum ini dimohon.

 

Menurut firma penyelidikan itu, unit simpanan luar sungai menawarkan alternatif berisiko lebih rendah berbanding projek air mentah berskala besar dan berintensifkan modal, memandangkan setiap unit mampu membekalkan sekitar 300 juta liter sehari (MLD) dengan anggaran kos di bawah RM1 bilion.

 

“Penyelesaian ini dijangka memperoleh kelulusan lebih pantas serta melibatkan risiko modal yang lebih rendah,” katanya.

 

BIMB Securities turut berkata, penggunaan unit modular berkenaan berpotensi mengurangkan risiko pengguna domestik berdepan kenaikan tarif air bagi menampung kos pelaburan yang terlalu besar atau tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

 

Menurut nota itu, peralihan Ranhill SAJ daripada projek air mentah berskala besar mencerminkan situasi bekalan air semasa di Johor, selain selari dengan langkah Malaysia menangani isu kurang penggunaan kapasiti grid simpanan melalui semakan semula rangka kerja bekalan elektrik kepada pusat data.

 

Di bawah rangka kerja baharu oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Suruhanjaya Tenaga, pengendali pusat data diwajibkan menggunakan sekurang-kurangnya 85% daripada permintaan maksimum yang diisytiharkan dalam tempoh empat tahun pertama, dan 75% bagi tahun kelima hingga keenam, atau berdepan penalti. 

 

Dasar itu bertujuan mengehadkan tempahan grid bersifat spekulatif dan memperbaiki perancangan sistem jangka panjang.

 

BIMB Securities berkata, 15 pusat data yang kini beroperasi di Johor hanya menggunakan sekitar 18 MLD air berbanding 45 MLD yang dimohon sebelum ini, iaitu kira-kira kadar penggunaan 40%.

 

Menurut anggaran Ranhill SAJ, Johor memerlukan tambahan 1,000 MLD bekalan air terawat menjelang 2030, selain projek sedia ada yang sedang dalam pembinaan. Antaranya termasuk Loji Layang 2 Fasa 2 yang akan menambah 160 MLD serta loji pakej Semangar berkapasiti 50 MLD, yang masing-masing dijangka siap antara 2026 hingga 2027.

 

Bagaimanapun, BIMB Securities berkata, potensi sumber sungai baharu seperti Sungai Sedili Besar dan Sungai Endau terletak lebih jauh dari kluster industri dan pusat data utama di Johor, sekali gus menimbulkan cabaran tambahan dari segi infrastruktur dan kos.

 

“Berdasarkan unjuran permintaan air masa hadapan oleh pengendali pusat data, ketersediaan air terawat dalam jangka masa terdekat adalah tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan yang diunjurkan, sekali gus memerlukan peluasan infrastruktur air mentah secara material sepanjang baki dekad ini,” katanya.

 

Sehubungan itu, BIMB Securities berpandangan penggunaan unit simpanan air modular luar sungai merupakan penyelesaian interim yang praktikal sementara projek air mentah jangka panjang dibangunkan dan permintaan air pusat data terus meningkat. - DagangNews.com