KUALA LUMPUR 16 Mei - Penganalisis masih yakin dengan prestasi 99 Speed Mart selepas syarikat itu mencatat keputusan kewangan suku pertama yang kukuh, hasil daripada pertumbuhan pendapatan yang berterusan dan rancangan membuka lebih banyak cawangan.
RHB Research berkata, syarikat tersebut akan terus berkembang dalam jangka panjang melalui usaha meluaskan pasaran, seperti menambah sumber bekalan dan membesarkan platform jualan borong untuk menarik lebih ramai pelanggan.
"Langkah membuka cawangan di lokasi yang masih belum diterokai, boleh membantu membesarkan perniagaan.
"Kami menganggarkan pendapatan syarikat boleh berkembang sebanyak 9% setahun dalam tempoh tiga tahun," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, fokus syarikat kepada pasaran tempatan dan keuntungan yang stabil menjadikan saham 99 Speed Mart pilihan yang menarik untuk pelabur, terutama dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu seperti perubahan tarif di Amerika Syarikat.
Untuk suku pertama tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 31 Mac, keuntungan bersih utama syarikat ialah RM143.18 juta, meningkat 8% berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan sejajar dengan jangkaan.
Ia mewakili 24% daripada ramalan tahunan RHB Research dan 25% daripada jangkaan penganalisis lain.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan menaikkan harga sasaran kepada RM2.45 daripada RM2.39, dengan potensi kenaikan 12% dan anggaran pulangan dividen sebanyak 2% untuk tahun 2025.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) turut berkongsi pandangan yang sama, memuji kekuatan pasaran dan rangkaian kedai 99 Speed Mart yang luas, serta harga yang kompetitif, yang mampu menyumbang kepada pendapatan yang stabil dan berulang.
HLIB menyatakan, prestasi 1QFY2025 menyumbang 26% kepada unjuran tahun penuhnya dan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM2.98, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 45 kali.
99 Speed Mart merancang untuk membuka sekurang-kurangnya 250 cawangan baharu pada 2025, dengan sasaran mencapai 3,000 cawangan.
Lokasi baharu tertumpu di kawasan baharu seperti Sabah, Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, selain mengukuhkan kehadiran di bahagian utara dan selatan tanah air.
Setakat ini, lapan firma penyelidikan memberikan saranan ‘beli’ terhadap saham 99 Speed Mart, manakala dua lagi mencadangkan 'pegang', sementara tiada saranan 'jual' dikeluarkan.
Menurut data Bloomberg, harga sasaran purata 12 bulan untuk saham berkenaan adalah RM2.57.
Sementara itu, CGS International (CGSI) lebih berhati-hati walaupun mengakui 99 Speed Mart mempunyai potensi untuk berkembang.
Ia berpendapat, kenaikan harga saham mungkin terhad dan mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM2.30.
CGS International turut memuji pulangan ekuiti syarikat yang tinggi iaitu 33%, jauh lebih baik daripada purata global 16% bagi peruncit barangan runcit.
"Kami juga menjangka syarikat akan meningkatkan perbelanjaan, terutama untuk menaik taraf penggunaan tenaga yang lebih cekap, sambil mengekalkan polisi pembayaran dividen sebanyak 50% dua kali setahun," ujarnya. - DagangNews.com








