Ramssol batal penjualan 40% pegangan dalam Rider Gate kepada syarikat berpangkalan di AS, Sagtec | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ramssol batal penjualan 40% pegangan dalam Rider Gate kepada syarikat berpangkalan di AS, Sagtec

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Penyedia rumusan sumber manusia dan pelesenan teknologi, Ramssol Group Bhd membantalkan rancangan untuk menjual 40% pegangan dalam anak syarikat milik penuhnya, Rider Gate Sdn Bhd kepada syarikat teknologi yang tersenarai di Nasdaq, Sagtec Global Ltd.

 

Kumpulan itu berkata, cadangan perjanjian bernilai RM25 juta itu telah dibatalkan selepas Sagtec gagal mendapatkan kelulusan daripada lembaga pengarah untuk meneruskan pengambilalihan itu.

 

"Memandangkan Sagtec gagal memperoleh kelulusan lembaga pengarahnya, Sagtec telah membatalkan pengambilalihan saham tersebut kerana tidak dapat memenuhi syarat terdahulu dalam perjanjian penjualan saham (SSA),” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Sagtec merupakan syarikat yang mengkhusus dalam sistem tempat jualan (point-of-sale), pembangunan perisian dan perkhidmatan pengurusan data.

 

Sementara itu, Ramssol berkata, ia sedang mendapatkan nasihat undang-undang berhubung penamatan proses itu oleh Sagtec.

 

Ramssol sebelum ini mengumumkan cadangan penjualan pegangan tersebut pada Julai lalu, dengan menyatakan, langkah itu bertujuan memanfaatkan modal dan kepakaran pembangunan perisian Sagtec untuk mempercepatkan usaha pengkomersialan Rider Gate. 

 

Transaksi itu juga akan membolehkan Ramssol mengagihkan semula sumber ke operasi yang lebih segera dan memberi sumbangan positif kepada keuntungan.

 

Selepas pengambilalihan tersebut, Ramssol seharusnya mengekalkan 60% pegangan dalam Rider Gate.

 

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Ramssol telah memberikan jaminan keuntungan sebanyak sekurang-kurangnya AS$1 juta (kira-kira RM4.25 juta) bagi tahun kewangan penuh pertama Rider Gate selepas selesainya urus niaga tersebut.

 

Pertimbangan bernilai RM25 juta, bersamaan kira-kira AS$5.8 juta, menunjukkan penilaian sebanyak RM62.5 juta untuk Rider Gate, dan pembayaran tersebut sepatutnya dibuat dalam bentuk saham Sagtec. 

 

Ramssol sebelum ini menjangkakan keuntungan pelupusan sebanyak RM25.14 juta. - DagangNews.com