Rakyat Malaysia guna SPayLater beli susu bayi, bayar kos perubatan - kaji selidik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rakyat Malaysia guna SPayLater beli susu bayi, bayar kos perubatan - kaji selidik

Gambar/FB ShopeePay
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Mei - Sebanyak 81% daripada lebih 40,000 rakyat Malaysia, menggunakan perkhidmatan 'beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) oleh Shopee, SPayLater, untuk membeli keperluan asas seperti susu bayi, kos perubatan, baik pulih kenderaan dan insurans.

 

Menurut kaji selidik terbaharu oleh Shopee, majoriti pengguna menggunakan kemudahan itu bukan untuk membeli barangan mewah, tetapi bagi mengurus aliran tunai (57%), menampung perbelanjaan sehingga hari gaji (46%) serta menghadapi kecemasan (32%).

 

 

 

Kaji selidik itu turut mendedahkan, sebanyak 59% responden bergantung kepada kredit untuk membeli barang keperluan harian, manakala 55% tiada akses kepada kredit selain BNPL.

 

"Banyak pengguna turut menyuarakan harapan agar SPayLater boleh digunakan di lebih banyak tempat khususnya di klinik, pasar raya dan kedai barangan rumah," demikian menurut keputusan tinjauan berkenaan.

 

Sebanyak 42% pengguna berkata, SPayLater membantu mereka mengawal kewangan dengan lebih baik dan 95% merasakan ia membantu mengurus hutang. 

 

"Sekitar 2% responden pula menyatakan kebimbangan kerana terpaksa bergantung kepada kredit jangka pendek untuk keperluan asas," jelasnya.

 

Kaji selidik sama mendedahkan, penggunaan SPayLater juga mengurangkan kebergantungan sesetengah pengguna terhadap kedai pajak gadai, ceti haram atau pinjaman daripada rakan-rakan dan ahli keluarga. - DagangNews.com