KUALA LUMPUR 27 Mei - Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan tiada pengesahan setakat ini mengenai peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas kekalahannya dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden parti itu baru-baru ini.
Fahmi enggan mengulas lanjut dan menyatakan tumpuannya kini adalah kepada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang sedang berlangsung.
"Sidang kemuncak belum tamat, hari ini baru hari kedua," katanya ringkas ketika ditanya pemberita seperti laporan Free Malaysia Today.
Mengulas lanjut mengenai Rafizi, Fahmi berkata, beliau belum menerima sebarang maklumat tambahan dan meminta semua pihak menunggu perkembangan selanjutnya.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dilihat hadir ke hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN hari ini, walaupun pernah menyatakan hasrat akan meletak jawatan sekiranya tewas dalam pemilihan parti.
Dalam pemilihan Jumaat lalu, Nurul Izzah Anwar menenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dengan meraih 9,803 undi, menewaskan Rafizi yang sekadar memperoleh 3,866 undi.
Sementara itu, mengulas mengenai tarikh mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang akan datang, Fahmi berkata, beliau masih belum menerima maklumat rasmi.
"Belum ada tarikh yang dimaklumkan setakat ini. Biasanya selepas pemilihan parti, mesyuarat akan diadakan untuk melantik ahli bagi mengisi jawatan yang kosong," katanya.
Mesyuarat itu dijangka membincangkan keputusan serta kesan daripada pemilihan parti, termasuk kemungkinan peranan baharu untuk Rafizi.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari semalam berkata, masa depan Rafizi dalam parti akan ditentukan selepas perbincangan dibuat bersama pimpinan.
"Beliau masih mahu menyumbang kepada parti dan kami harap beliau dapat terus bersama kerana beliau pernah berjanji tidak akan meninggalkan parti," kata Amirudin. - DagangNews.com








