Rafe Haneef dilantik sebagai Presiden AIBIM baharu bagi penggal 2025–2028 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rafe Haneef dilantik sebagai Presiden AIBIM baharu bagi penggal 2025–2028

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 12 Jan – Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) melantik Rafe Haneef, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Bhd sebagai Presiden AIBIM yang baharu bagi penggal 2025–2028, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

 

Rafe menggantikan Datuk Mohd Muazzam Mohamed, yang memegang jawatan tersebut bagi penggal 2023 hingga 2025.

 

Dalam satu kenyataan, AIBIM berkata Rafe membawa pengalaman kepimpinan yang luas serta kepakaran mendalam dalam industri, dengan rekod kukuh dalam tadbir urus, inovasi dan kewangan mampan.

 

Menurut persatuan itu, pelantikan Rafe dibuat pada ketika yang penting, sejajar dengan pelaksanaan Pelan Strategik Tiga Tahun AIBIM (2025–2027) yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kepimpinan industri, pemecutan agenda pengantaraan berasaskan nilai serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global.

 

Sebagai presiden, Rafe akan menerajui AIBIM dalam memacu keutamaan strategik di bawah pelan berkenaan, menggalakkan kerjasama lebih erat dalam kalangan ahli dan pihak berkepentingan, serta menyokong inisiatif yang memperkukuh daya tahan, inovasi dan penciptaan nilai jangka panjang dalam industri perbankan dan kewangan Islam.

 

Bagi penggal 2025–2028, AIBIM memaklumkan barisan pemegang jawatan lain kekal tidak berubah, iaitu Ahmad Shahriman Mohd Shariff (Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic Bank Bhd) sebagai Naib Presiden, Mohamad Yasin Abdullah (Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Islamic Bhd) sebagai Setiausaha, serta Mohd Syahrul Ishak (Ketua Pegawai Eksekutif, Alrajhi Bank Malaysia).

 

“Pelantikan berterusan ini memastikan kesinambungan kepimpinan, kestabilan institusi dan momentum berterusan bagi inisiatif strategik serta agenda industri AIBIM,” kata AIBIM. - DagangNews.com