Radium lancar hospital pertama di Ayer Keroh, mula beroperasi separuh pertama 2028 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Radium lancar hospital pertama di Ayer Keroh, mula beroperasi separuh pertama 2028

Pengarah Urusan Kumpulan Radium Development Berhad, Datuk Gary Gan Kah Siong (kanan), dan Radium Healthcare Sdn. Bhd. Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Arun Kumar (tengah), menyampaikan cenderahati kepada Pengerusi Radium Development Berhad, Tan Sri Mhd Amin Nordin semasa pelancaran rasmi Radium Healthcare dan Hospital Radium @ Ayer Keroh.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 27 Mei – Radium Development Berhad melancarkan hospital pertama, Radium Hospital @ Ayer Keroh yang dijadual mula beroperasi pada separuh pertama 2028 (1H28).

 

Hospital itu kini beroperasi sebagai A Famosa Specialist Hospital dan akan dikendalikan oleh anak syarikat baharu, Radium Healthcare Sdn Bhd.

 

Terletak berhampiran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hospital itu merupakan fasiliti perubatan kepakaran tinggi yang menyasarkan komuniti termasuk pesakit daripada golongan kelas menengah ke atas, pemegang polisi insurans, panel korporat, dan pelancong perubatan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Radium Development, Datuk Gary Gan berkata, penglibatan dalam sektor kesihatan merupakan langkah strategik dalam usaha kumpulan menyediakan perkhidmatan menyeluruh kepada masyarakat.

 

"Kami telah membina kediaman mampu milik berkualiti dan komited untuk menawarkan penjagaan kesihatan yang boleh dipercayai serta cemerlang," katanya semasa majlis pelancaran rasmi hospital itu di Hilton Kuala Lumpur, hari ini.

 

radium
Pengarah Urusan Kumpulan Radium Development Berhad, Datuk Gary Gan Kah Siong

 

Radium Hospital bakal menjadi komponen utama Radium Centricity, pembangunan bersepadu seluas 2.87 hektar yang merangkumi kediaman, komersial serta perniagaan sokongan berkaitan penjagaan kesihatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Radium Healthcare, Dr Arun Kumar berkata, visi kumpulan adalah membina rangkaian hospital komuniti yang mematuhi piawaian klinikal tertinggi dan pada masa sama mampu diakses oleh orang ramai.

 

"Model perniagaan kami mampan dalam jangka panjang dengan gabungan dana dalaman, pembiayaan strategik, struktur aset ringan, dan kawalan kos. 

 

"Kami juga melabur dalam teknologi, protokol keselamatan, serta pengiktirafan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH)," katanya.

 

Syarikat itu turut menjalin kerjasama strategik dengan sektor korporat, NGO tempatan, dan M Life Healthcare Sdn Bhd yang turut diterajui Dr Arun dalam mengembangkan operasi penjagaan kesihatan kumpulan.

 

Hospital itu akan menempatkan Pusat Kecemerlangan dalam bidang traumatologi, kardiologi, kesuburan, dan neonatologi, sejajar dengan keperluan penjagaan kesihatan semasa termasuk kecederaan lebuh raya, penyakit jantung kronik serta cabaran kesuburan.- DagangNews.com