KUALA LUMPUR 17 April – QL Resources Bhd diyakini terus mencatat pertumbuhan kukuh merentasi semua segmen utama meskipun terdapat penyederhanaan jangka pendek dalam beberapa unit perniagaan.
Syarikat itu terlibat dengan perniagaan haiwan ternakan, telur dan pengeluaran makanan laut berasaskan ikan di seluruh Asia.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, segmen pembuatan produk marin (MPM) dijangka pulih hasil peluasan kapasiti, manakala perniagaan penternakan ternakan bersepadu pula terus mencatat prestasi positif hasil sokongan kukuh dalam pasaran domestik dan pemulihan dinamik serantau.
Permintaan stabil bagi produk surimi, disokong MPM meskipun segmen itu mencatat prestasi lebih perlahan pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2024 (3Qy25), HLIB kekal positif terhadap QL Resources kerana permintaan terhadap produk berasaskan surimi kekal stabil.
“Permintaan untuk surimi dan produk berasaskan surimi dijangka berdaya tahan disokong harga jualan yang stabil, dan kadar penukaran yen Jepun yang menggalakkan, kos input yang lebih rendah, dan dolar Amerika Syarikat (AS) yang stabil," katanya dalam satu nota kajian.
Untuk jangka sederhana, segmen hiliran dijangka menjadi pemacu pertumbuhan utama dengan peluasan kapasiti pengeluaran.
Produk makanan sejuk beku QL telah menyumbang secara purata 52% daripada keuntungan sebelum cukai kumpulan sepanjang tiga tahun lalu.
Segmen penternakan mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan dengan keuntungan sebelum cukai bagi 3Q25 meningkat sekitar 20% tahun ke tahun, disumbang oleh operasi domestik.
HLIB berkata margin dijangka kekal stabil kerana harga bahan makanan ternakan telah kembali stabil selepas mencatat paras tinggi sebelum ini.
Di Malaysia, segmen ayam penelur mendapat manfaat daripada penurunan kos makanan ternakan dan bantuan subsidi berterusan.
Di Indonesia, pemulihan harga telur dan peningkatan produktiviti dijangka menyokong prestasi.
Namun begitu, operasi di Vietnam terus tertekan disebabkan harga telur yang rendah walaupun kos makanan ternakan turut menurun.
Sementara itu, operasi ayam pedaging di Sabah dan Sarawak dijangka terjejas berikutan harga lemah dan isu produktiviti yang berpunca daripada wabak penyakit.
Segmen minyak sawit dan tenaga bersih turut muncul sebagai penyumbang utama keuntungan, dipacu margin yang kukuh dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang masih tinggi.
Rangkaian kedai serbaneka FamilyMart yang turut dimiliki oleh kumpulan itu dijangka mencatat prestasi lebih perlahan dalam suku keempat disebabkan Februari yang lebih pendek dan bulan puasa pada Mac.
Bagaimanapun, HLIB menegaskan pertumbuhan jangka panjang QL Resources kekal kukuh dipacu permintaan domestik dan strategi peluasan perniagaan yang berterusan.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM6.00," kata HLIB.- DagangNews.com








