Purata nilai dagangan harian lebih rendah beri tekanan kepada keuntungan 2QFY25 Bursa Malaysia, kata Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Purata nilai dagangan harian lebih rendah beri tekanan kepada keuntungan 2QFY25 Bursa Malaysia, kata Kenanga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Purata nilai dagangan harian (ADV) yang lebih rendah dijangka memberi tekanan kepada keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd, bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25).

 

Kenanga Research yang mengekalkan saranan “market perform” terhadap saham tersebut dengan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM8 daripada RM7.80, berkata ADV bagi 2QFY25 sebanyak RM2.29 bilion adalah di bawah jangkaannya sebanyak RM3 bilion.

 

Firma penyelidikan itu berata, ADV bagi 2QFY25 merosot sebanyak 13% berbanding 1QFY25 dan mencatatkan penurunan sebanyak 37% berbanding suku yang sama tahun lalu.

 

Ia merujuk kepada kesan terhadap sentimen pasaran akibat perubahan dalam perkembangan tarif Amerika Syarikat (AS).

 

“Perkara ini secara khusus telah menjejaskan sentimen terhadap industri semikonduktor.

 

“Sementara itu, konflik berpanjangan di Asia Barat memberikan reaksi bercampur-campur ke atas kaunter minyak dan gas serta pengendali pelabuhan,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Ia menjangkakan keuntungan bersih bagi 2QFY25 antara RM59 juta hingga RM65 juta, iaitu 10% lebih rendah berbanding 1QFY25 dan 23% lebih rendah berbanding suku yang sama tahun lalu, dengan ADV yang lebih rendah secara berurutan menjejaskan jumlah hasil daripada sekuriti, yang merangkumi separuh daripada jumlah hasil operasi.

 

Kenanga Research mengurangkan unjuran ADV kepada RM2.53 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25) daripada RM2.91 bilion sebelum ini.

 

“Kami juga mengurangkan unjuran ADV bagi FY26 kepada RM2.85 bilion (5% di bawah RM3 bilion) dengan jangkaan ketidaktentuan akan berterusan. 

 

"Susulan pelarasan ini, kami mengurangkan unjuran pendapatan FY25/FY26 masing-masing sebanyak 8% dan 3%,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, sentimen dagangan kekal suram pada separuh kedua tahun ini.

 

Katanya, ia termasuk mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang dijadualkan pada 30 Julai dan 17 September, yang boleh mempengaruhi arah kadar faedah AS.

 

Tarikh lain yang turut diberi perhatian ialah 1 Ogos, tarikh akhir pengumuman tarif AS, dan 15 Ogos, apabila Malaysia dijadualkan mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2QFY25.

 

Kenanga Research turut memberi amaran terhadap kebimbangan inflasi yang dikaitkan dengan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta ketidaktentuan berhubung mekanisme rasionalisasi subsidi bahan api RON95.- DagangNews.com