KUALA LUMPUR 3 April - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) memberikan nilai wajar kepada MSB Global Group Berhad pada 24 sen sesaham.
Penilaian tanpa penarafan itu adalah lebih tinggi sebanyak 20% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 20 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 15 April 2025.
"Kami percaya penilaian itu wajar, disokong oleh pertumbuhan pendapatan daripada usahanya dalam pengeluaran pelincir dan cecair automotif, pengenalan produk dalaman baharu.
"Ia juga disokong oleh margin keuntungan kasar yang stabil dan pertumbuhan berterusan populasi kenderaan bermotor di negara ini," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, jualan borong dan runcit alat ganti dan komponen automotif di Malaysia diramalkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 8.6 peratus untuk mencecah RM91.1 bilion menjelang 2029.
Katanya, pemulihan pasca wabak dan peningkatan jualan kenderaan bermotor telah meningkatkan permintaan untuk pelincir dan cecair automotif.
"Pasaran pelincir dan cecair automotif tempatan diunjurkan berkembang pada CAGR 9.2 peratus, mencecah RM5.2 bilion menjelang 2029," katanya.
MSB Global terlibat dalam pemasaran, perdagangan dan pengedaran bahagian dan komponen automotif selepas pasaran. Selain itu, kumpulan itu terlibat dalam pemasaran, perdagangan dan pengedaran pelincir dan cecair automotif.
Di luar aktiviti teras ini, mereka juga memperdagangkan kabinet telekomunikasi luar dan barangan elektrik berkaitan, yang dijual kepada pelanggan tunggalnya di Singapura.
Kumpulan itu menawarkan lebih 3,000 unit penyimpanan stok (SKU) alat ganti dan komponen automotif selepas pasaran bersama-sama dengan 200 SKU pelincir dan cecair automotif, termasuk jenama GSP dan beberapa jenama dalaman dan pihak ketiga yang lain.
Terdahulu, tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan itu melibatkan penerbitan 133 juta saham biasa baharu pada harga runcit 20 sen sesaham.
Sejumlah RM4.97 juta daripada hasil IPO tersebut akan digunakan untuk pembinaan kilang dan gudang baharu bagi menyokong pengeluaran pelincir dan cecair, manakala RM6 juta akan diperuntukkan bagi pembelian mesin, peralatan dan bahan mentah untuk menubuhkan barisan pengeluaran.
Selain itu, sejumlah RM5.5 juta akan digunakan juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, modal kerja am (RM4.79 juta), perbelanjaan penyenaraian (RM4.50 juta) dan menyokong pelancaran dan pengedaran pengecas kenderaan elektrik (EV) jenama kumpulan (RM840,000).
M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan untuk IPO tersebut. - DagangNews.com








