KUALA LUMPUR 28 Julai – Proton Holdings Bhd mengorak langkah strategik ke peringkat global dengan menubuhkan Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB), sebuah anak syarikat milik penuh yang ditubuhkan khusus untuk memacu pertumbuhan eksport jenama automotif nasional itu ke pasaran luar negara.
Penubuhan PICSB dilihat sebagai langkah penting bagi memperkukuh fleksibiliti dan tumpuan syarikat dalam menguruskan operasi serta strategi di pasaran antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif PICSB, Edmund Lim Meng Thong berkata, jualan eksport dikenal pasti sebagai pemacu utama pertumbuhan masa depan dan PICSB menyasarkan untuk memperluas kehadiran Proton di negara-negara selatan global, di samping terus membangunkan pasaran sedia ada
Beliau yang juga bekas Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton berkata, antara objektif utama ialah mencapai pertumbuhan 10 kali ganda jumlah eksport dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Sehingga kini, Proton telah mengeksport 20,169 unit kenderaan ke 19 negara sejak tahun 2020, menjadikannya pengeksport kenderaan utama negara.


“Antara pasaran eksport semasa termasuk Bangladesh, Nepal, Mesir, Ghana, Pakistan, Singapura dan Trinidad & Tobago,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak awal tahun ini, Proton melaporkan prestasi memberangsangkan dalam eksport model seperti Saga, X50, dan X70.
Beliau berkata, model elektrik e.MAS 7 berjaya melonjak ke tangga ketiga dalam senarai eksport tertinggi bagi tahun ini dengan 233 unit dieksport ke Nepal dan Trinidad & Tobago, selain jualan domestik dan antarabangsa berjumlah 3,632 unit sehingga Mei.
“Langkah Proton melancarkan model-model seperti e.MAS 7 di pasaran antarabangsa turut diperhebat menerusi kerjasama dengan pengedar tempatan – antaranya pelancaran Saga CKD di Mesir bersama Ezz Elarab Group dan kemunculan sulung e.MAS 7 di The Car Expo 2025, Singapura,” katanya.
Beroperasi sebagai sayap antarabangsa syarikat, PICSB menyasarkan eksport sebanyak 6,000 unit tahun ini, dan berganda pada 2026.
Beliau berkata, misi jangka panjangnya adalah untuk melebihi 60,000 unit menjelang 2030.
“Penubuhan rasmi PICSB adalah detik penting dalam usaha globalisasi Proton. Kami kini sedang memperkukuh pasukan jualan dan pemasaran serantau untuk mencapai sasaran tersebut.
“Perkembangan di Automotive High Tech Valley (AHTV) dijangka meningkatkan keupayaan pengeluaran bagi memenuhi permintaan eksport yang semakin meningkat,” katanya.
Proton kini beroperasi di bawah pemilikan bersama DRB-HICOM dan Zhejiang Geely Holding Group, dan komited untuk terus menawarkan kenderaan inovatif yang memenuhi piawaian antarabangsa, selaras dengan aspirasi “Inspiring Connections” syarikat. - DagangNews.com








