KUALA LUMPUR 8 Jan – Proton Holdings Bhd mengesahkan berlakunya insiden kebakaran di sebuah fasiliti pengedar badan dan cat (B&P) milik Proton Salient Progress di Sungai Buloh, Selangor semalam.
Bagaimanapun, kumpulan automotif tempatan tersebut menegaskan kejadian berkenaan tidak melibatkan isu berkaitan produk serta tidak menjejaskan operasi bilik pameran yang lain.
Dalam kenyataan hari ini, Proton berkata kebakaran berlaku pada kira-kira 5:00 petang pada Rabu, 7 Januari 2026, di Proton Salient Progress (B&P) yang terletak di Lot 906 & 907, Kampung Baru Sungai Buloh, 40160 Shah Alam, Selangor.
Menurut Proton, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) dihubungi segera dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada 8:00 malam.
“Punca dan tahap kerosakan akibat insiden ini masih dalam siasatan. Pada masa ini, tiada petunjuk bahawa kejadian tersebut berpunca daripada sebarang isu berkaitan produk. Yang penting, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan,” kata Proton dalam kenyataan itu.
Syarikat itu turut memaklumkan siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan, dengan pengedar berkenaan bekerjasama rapat sepanjang proses tersebut.
“Proton akan menyokong pengedar dalam menangani perkara berkaitan pelanggan, dan pelanggan yang terjejas akan dihubungi dengan segera,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, Proton menegaskan bilik pameran Salient Progress Kepong 4S, yang terletak di No. 246, Batu 6 1/2, Jalan Besar Kepong, 52000 Kuala Lumpur, tidak terjejas dan terus beroperasi seperti biasa. - DagangNews.com








