KUALA LUMPUR 29 April - Prospek operasi ViTrox Corp Bhd kekal mencabar disebabkan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS), sekali gus mungkin menyebabkan pengeluar menangguhkan perbelanjaan modal (capex).
Menurut CGSI Research, penangguhan capex berlaku dalam keadaan tidak menentu dan risiko penurunan permintaan daripada pelanggan akhir.
Katanya, bagi suku pertama 2025 (1Q25), keuntungan bersih teras ViTrox meningkat 36% berbanding tahun sebelumnya kepada RM24.2 juta, didorong oleh pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan perbandingan dengan asas yang rendah pada 1Q24.
"Pendapatan 1Q25 berjumlah RM141 juta, berada di tahap tertinggi dalam jangkaan pengurusan.
"Namun, ia sedikit terjejas oleh kos susut nilai yang lebih tinggi kerana syarikat sedang berkembang ke kemudahan baharu," kata CGSI Research dalam satu nota kajian.
Bagaimanapun ia berkata, prestasi itu masih rendah daripada jangkaan pasaran, hanya mencapai 15% hingga 17% daripada anggaran tahunan CGSI dan unjuran Bloomberg.
CGSI Research juga berkata, persaingan harga daripada syarikat China kekal tinggi, terutamanya dalam segmen sistem penglihatan mesin.
Oleh itu, ViTrox terpaksa menambah pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan untuk kekal berdaya saing.
"Untuk menangani cabaran ini, ViTrox merancang membuka operasi kecil di China bagi meningkatkan kandungan tempatan, yang dijangka membantu daya saing dan mengukuhkan hubungan dengan pelanggan utama," jelasnya.
Berikutan faktor-faktor tersebut, CGSI mengurangkan unjuran keuntungan sesaham ViTrox bagi tahun kewangan 2025 dan 2026 sebanyak 23% hingga 27%, disebabkan jangkaan pertumbuhan jualan yang lebih perlahan dalam semua segmen perniagaan. - DagangNews.com








