KUALA LUMPUR 10 April - Prospek sektor pembinaan kekal teguh, disokong aliran kerja pembangunan infrastruktur mega, pembinaan pusat data baharu dan kos bahan mentah yang lebih murah.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, anugerah kontrak domestik pada suku pertama 2025 berjumlah RM16.4 bilion, iaitu 33% lebih tinggi suku ke suku dan 135% lebih tinggi tahun ke tahun.
“Permulaan kukuh pada 2025 memberi keyakinan kepada jangkaan kami tentang satu lagi persekitaran aliran kerja yang sihat tahun ini, memanjangkan kitaran pertumbuhan buku pesanan sektor.
"Sementara itu, suku pertama 2025 disandarkan pekerjaan infrastruktur bernilai RM11.4 bilion yang diketuai LRT Pulau Pinang Segmen 1 (RM8.3bilion) dan pengembalian semula LRT 3 (RM2.5bilion)," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu menjangkakan aliran kerja terutamanya melibatkan infrastruktur akan berterusan sepanjang tahun ini, diterajui projek seperti pakej sistem LRT Pulau Pinang (bernilai RM3 bilion hingga RM4 bilion) dan tender Segmen 2, yang kedua-duanya dijangka diadakan pada separuh kedua 2025.
Projek infrastruktur lain termasuk pakej 3 pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang, jalan raya dan lebuh raya termasuk Lebuhraya Pantai Baru 2.0 dan Lebuhraya Koridor Utara, projek air dan hospital.
Projek komersial dan kediaman, bagaimanapun, boleh mengalami sedikit penyederhanaan tahun ini selepas tahun 2024 yang luar biasa, sebahagiannya didorong pembangunan Johor dan program Malaysia Rumah Keduaku yang diubah suai.
Isu tarif juga boleh memperlahankan aliran kerja industri dalam tempoh terdekat di tengah-tengah penilaian semula strategik, katanya.
Sementara itu, MIDF Research berkata, sektor pembinaan diunjurkan berkembang sebanyak 12% pada 2025 selepas nilai kerja pembinaan yang dilakukan meningkat sebanyak 20.2% tahun ke tahun kepada RM158.8 bilion pada 2024.
Pertumbuhan pada 2025 akan disokong oleh pekerjaan sektor swasta dengan tumpuan kepada bangunan perindustrian, seperti gudang logistik, pusat data dan faundri semikonduktor, dan disokong projek infrastruktur, seperti Lebuhraya Pan Borneo, Laluan Rel Pantai Timur, RTS Link dan lima stesen LRT 3 yang dipulihkan baru-baru ini.
MIDF Research berkata, sektor pembinaan pada asasnya adalah industri yang berhadapan dengan domestik dan tidak bergantung kepada eksport untuk mendapatkan hasil. Oleh itu, ia sebahagian besarnya terlindung daripada kejutan berkaitan perdagangan, selain daripada potensi tekanan kos.
Sementara itu, CIMB Securities berkata, walaupun tarif AS mungkin mendorong semakan jangka pendek untuk beberapa pemain pusat data utama, namun Malaysia kekal sebagai sebagai lokasi fizikal menarik untuk infrastruktur teknologi tersebut.
Katanya, langkah untuk meningkatkan pembiayaan oleh penganjur seperti Bridge Data Centres dan DayOne (dahulunya GDS International) mencadangkan prospek aliran pekerjaan kekal utuh.
Minat pelabur dalam saham pembinaan, bagaimanapun bergantung kepada pengurangan tekanan dan penilaian makro, yang kemudiannya boleh menggalakkan aliran masuk dana dalam syarikat sektor itu.
“Momentum kontrak baharu daripada ruang infrastruktur awam (contohnya LRT Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang dan LRT 3 Fasa 2) yang telah meningkat secara berterusan sejak awal 2025 boleh mendorong kitaran penarafan semula baharu untuk sektor itu,” katanya. - DagangNews.com








