KUALA LUMPUR 18 Julai - Prospek sektor pembinaan diyakini positif didorong perkembangan terkini mengenai projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3), kata penganalisis.
RHB Research menjangkakan butiran lanjut akan diumumkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pada 31 Julai 2025 atau Belanjawan 2026 pada 10 Oktober ini, termasuk mekanisme pembiayaan, anggaran kos terkini dan sama ada proses tender semula akan dijalankan.
“Sebagai imbasan, dalam Belanjawan 2023 yang disemak semula dan dibentangkan pada Februari 2023, kerajaan telah mengumumkan hasrat untuk mengkaji semula kos projek MRT3 dengan harapan dapat mengurangkan jumlah keseluruhan kepada bawah RM45 bilion daripada anggaran RM68 bilion pada tahun 2018.
"Kami menjangkakan penganugerahan kontrak dan pembinaan MRT3 berkemungkinan bermula pada tahun 2027," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor tersebut.
Sementara itu, MBSB Investment menjangkakan proses tender semula akan diadakan pada pertengahan 2026 dengan pemberian kontrak dijangka berlaku antara akhir 2026 dan pertengahan 2027 iaitu menjelang penghujung proses pengambilalihan tanah.
MRT Corp telah memohon empat lanjutan tempoh sah tender bagi projek ini.
Firma penyelidikan itu berkata, tiada lanjutan dimohon selepas yang terakhir pada Mac 2024. Ini bermakna tempoh sah tender tersebut telah luput secara semula jadi.
“Kami percaya akan berlaku beberapa perubahan pada jajaran asal projek serta penempatan stesen, memandangkan pengurangan dalam jumlah lot tanah yang akan diambil alih.
“Pembinaan MRT3 mungkin bermula pada tahun 2027. Ini akan memastikan para kontraktor kekal sibuk sehingga tahun 2033.
"Ia juga merupakan kesinambungan projek yang tepat pada masanya selepas dijangka siapnya projek Sistem Transit Rapid Johor-Singapura (RTS) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjelang akhir tahun 2026,” katanya.
MBSB Investment mengekalkan saranan "positif" terhadap sektor berkenaan.
MRT3 Circle Line merupakan jajaran berbentuk orbit sepanjang 51 km yang berfungsi untuk menghubungkan kawasan pinggir Kuala Lumpur.
Jajaran itu dijangka melibatkan 39 km laluan bertingkat dan 12 km laluan bawah tanah, dengan 22 stesen bertingkat, tujuh stesen bawah tanah dan tiga stesen tambahan pada masa hadapan.- DagangNews.com








