Prospek sektor media kekal mencabar disebabkan perbelanjaan iklan terus merosot - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek sektor media kekal mencabar disebabkan perbelanjaan iklan terus merosot - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Sektor media dianggar kekal berdepan cabaran pada separuh kedua 2025 disebabkan cabaran struktur yang berterusan dan perbelanjaan iklan (adex) yang lemah, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Katanya, industri itu terus bergelut dengan kemerosotan mendadak media tradisional manakala usaha transformasi digital pula menunjukkan hasil yang lemah dan tidak sekata.

 

“Adex kekal suram, dipengaruhi sentimen global dan bajet pemasaran korporat yang lebih ketat.

 

“Walaupun penjanaan hasil menerusi platform digital semakin berkembang, ia masih belum mampu menampung kemerosotan ketara hasil daripada saluran tradisional," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, adex merosot dalam semua segmen. Data Nielsen menunjukkan jumlah adex dari Januari hingga Mei tahun ini menyusut sebanyak 17% berbanding tempoh yang sama tahun lalu, mencerminkan kelemahan pasaran yang berterusan.

 

Adex digital, yang dahulunya positif, merosot sebanyak 47%, menunjukkan pengiklan kini mengurangkan perbelanjaan di semua platform.

 

Segmen media lain juga mengalami penurunan, perbelanjaan iklan saluran tv percuma menyusut sebanyak 6%, akhbar sebanyak 12%, majalah sebanyak 10%, radio sebanyak 23% dan pawagam merosot dengan ketara sebanyak 50%.

 

“Bagaimanapun, terdapat potensi untuk sedikit peningkatan pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung selewat-lewatnya Januari 2026 serta aktiviti promosi awal menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” kata firma tersebut.

 

Walaupun Media Prima Berhad dan Astro Malaysia Berhad telah membuat pelaburan digital masing-masing melalui REV Media dan platform kandungan digital, HLIB berkata, inisiatif-inisiatif itu masih belum memberikan pulangan ketara.

 

“Pegangan keseluruhan pengiklanan digital oleh pemain tempatan masih kecil berbanding gergasi teknologi global seperti Meta, Google dan TikTok.

 

“Platform antarabangsa ini menguasai perbelanjaan iklan digital disebabkan keupayaan penyasaran yang lebih canggih serta jumlah pengguna yang besar, sekali gus menyebabkan syarikat-syarikat Malaysia berdepan dengan kuasa tawar-menawar yang terhad dan margin keuntungan yang lebih nipis,” katanya.

 

HLIB berkata, bahawa penjanaan hasil menerusi kandungan digital kekal sebagai satu cabaran, terutamanya dalam pasaran di mana pengguna masih keberatan untuk membayar bagi media dalam talian. - DagangNews.com