KUALA LUMPUR 17 April – Prospek Reach Ten Holdings Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama diramal positif disokong aliran pendapatan berulang yang kukuh sekali gus menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan masa hadapan, kata Malacca Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY24, antara 87% hingga 93.1% hasil syarikat telekomunikasi yang berpangkalan di Sarawak itu diperoleh daripada kontrak jangka panjang merangkumi jalur lebar satelit, talian sewa gentian, dan infrastruktur telekomunikasi terurus dengan tempoh antara 12 hingga 60 bulan.
Dalam penilaian terhadap tawaran awam permulaan (IPO) Reach Ten, Malacca Securities menetapkan nilai saksama sebanyak 71 sen sesaham, iaitu premium 36.5% berbanding harga IPO sebanyak 52 sen.
Penilaian itu berdasarkan unjuran pendapatan sesaham pertengahan FY2026 sebanyak 5.44 sen, disandarkan kepada nisbah harga terhadap pendapatan (PE) hadapan sebanyak 13 kali.
"Kami tidak menolak kemungkinan pasaran memberikan penilaian lebih tinggi berikutan margin bersih Reach Ten yang lebih kukuh berbanding pesaing," katanya dalam satu nota kajian.
Malacca Securities optimis dengan tumpuan tinggi Reach Ten di Sarawak yang masih kurang liputan jalur lebar dan infrastruktur gentian optik, sekali gus menjadikan syarikat itu antara penerima manfaat utama di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela).
Rekod prestasi kukuh Reach Ten dalam Fasa 1 Jendela turut menyokong jangkaan kesinambungan projek di bawah Fasa 2.
Sementara itu, Reach Ten turut mendapat manfaat daripada kepadatan penduduk yang rendah di Sarawak yang menyokong pelaksanaan jalur lebar dan gentian optik yang lebih kos efektif, terutamanya di kawasan luar bandar dan separa bandar.
"Penggunaan kaedah penggalian parit terbuka yang jauh lebih murah berbanding kaedah tanpa parit di kawasan bandar memberi kelebihan kepada Reach Ten dari segi kos kerja sivil setiap kilometer yang lebih rendah.
"Faktor ini membolehkan pelaksanaan berskala besar bagi projek di bawah Fasa 2 Jendela," jelas firma itu.
Selain itu, Reach Ten turut dijangka meraih manfaat daripada permintaan jalur lebar yang semakin meningkat susulan pelaksanaan 4G dan 5G, dengan 36 menara miliknya dijangka disewa kepada pengendali rangkaian multinasional menerusi perjanjian penyewaan jangka panjang.
"Penempatan strategik menara-menara luar bandar ini menyokong nisbah penyewaan yang lebih tinggi, manakala pendapatan sewaan berulang memberi sokongan kepada keterlihatan pendapatan, sejajar peluasan liputan oleh pengendali rangkaian mudah alih (MNO) di kawasan kurang liputan," katanya.
Berdasarkan unjuran pertumbuhan hasil sebanyak 13.5% daripada asas FY23 sebanyak RM182.3 juta, Reach Ten dijangka mencatat peningkatan Ebitda sebanyak 8.3% pada FY2025, daripada 39.6% kepada 40.7%, bersamaan tambahan RM6.2 juta.
"Peningkatan margin ini didorong oleh capex dan opex tambahan yang minimum, disokong oleh aset PPE sedia ada yang merangkumi 649 kilometer gentian, 217 kilometer saluran, dan sebuah hab teleport di Kuching," kata Malacca Securities.- DagangNews.com








