KUALA LUMPUR 20 Ogos - Prospek pertumbuhan jangka panjang SAM Engineering & Equipment (M) Berhad diramal positif didorong pendedahannya dalam segmen peralatan semikonduktor, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Katanya, meskipun keputusan kewangan 1QFY26 kumpulan berada di bawah jangkaan pasaran disebabkan campuran produk yang kurang menguntungkan dan kelemahan nilai dolar Amerika Syarikat (AS).
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM13 juta, meningkat 30% berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan hasil meningkat 11% kepada RM370 juta.
"Walaupun keuntungan teras suku tahunan merosot, kami mengekalkan unjuran pendapatannya berdasarkan kepada nisbah PE 28 kali terhadap EPS tahun kewangan 2026," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, untung bersih 1QFY26 kumpulan melonjak 60.33% didorong oleh jualan lebih tinggi dalam segmen peralatan dan aeroangkasa
Keuntungan bersihnya meningkat kepada RM16.2 juta berbanding RM10.1 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. Pendapatan sesaham (EPS) bagi 1QFY26 naik kepada 2.39 sen, berbanding 1.49 sen dalam 1QFY25.
Hasil suku tahunan turut meningkat sebanyak 10.85% tahun ke tahun kepada RM369.6 juta pada 1QFY26 daripada RM333.41 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Maybank IB melihat potensi pertumbuhan yang berterusan untuk SAM, khususnya dalam segmen peralatan semikonduktor, memandangkan permintaan global terhadap cip semakin meningkat sejajar dengan kemajuan teknologi dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, kumpulan itu juga bakal mendapat manfaat daripada pemulihan beransur-ansur dalam segmen aeroangkasa, yang menunjukkan peningkatan jualan dan penyusutan kerugian pada suku tersebut.
Bagaimanapun,firma penyelidikan itu mengingatkan, risiko utama yang mungkin dihadapai kumpulan termasuk kehilangan pelanggan utama, pengukuhan ringgit serta permintaan pelanggan yang lebih lemah daripada jangkaan.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM4.25 sesaham," katanya. - DagangNews.com








