Prospek pertumbuhan Malakoff dipacu gabungan pelbagai projek baharu, kata UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek pertumbuhan Malakoff dipacu gabungan pelbagai projek baharu, kata UOBKH

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Gabungan pelbagai projek baharu dipercayai meletakkan semula Malakoff Corp Bhd dalam senarai perhatian pelabur selepas berada di bawah radar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata UOB Kay Hian.

 

Katanya, Malakoff mempunyai peluang kukuh untuk mendapatkan lanjutan jangka pendek bagi loji-loji janakuasanya yang Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) akan tamat tidak lama lagi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sekitar sebulan lalu, kerajaan telah menjemput syarikat-syarikat yang berminat untuk mengemukakan cadangan bagi pembekalan tenaga elektrik bagi tempoh 2025 hingga 2029 di bawah dua kategori, antaranya lanjutan kontrak bagi loji janakuasa berasaskan gas sedia ada yang PPA telah atau bakal tamat tempoh.

 

UOB Kay Hian berkata, pihaknya difahamkan, kumpulan itu telah mengemukakan cadangan bagi melanjutkan operasi tiga loji janakuasa berasaskan gas miliknya – Prai, Segari dan GB3 – di bawah kategori ini.

 

Kategori satu lagi yang dibuka oleh kerajaan ialah bagi pembangunan loji janakuasa baharu berasaskan gas.

 

“Keputusan daripada pihak kerajaan dijangka dibuat pada September atau Oktober ini dan kami menjangkakan berita yang positif.

 

“Anugerah berpotensi bagi loji janakuasa baharu berasaskan gas ini dianggarkan bernilai 22.5 sen sesaham atau kira-kira 25% daripada permodalan pasaran Malakoff, dengan andaian kadar pulangan dalaman (IRR) sebanyak 9% bagi projek tersebut,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu meletakkan harga sasaran RM1.08 bagi saham tersebut.

 

Mengulas mengenai loji sisa-ke-tenaga (WTE) kumpulan itu di Sungai Udang, Melaka, UOB Kay Hian menjangkakan projek tersebut mencapai penutupan kewangan (financial close) menjelang pertengahan 2026.

 

Pembinaan kemudahan tersebut akan bermula selepas itu dan dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun.

 

“Anggaran kos projek adalah antara RM580 juta hingga RM660 juta. Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) adalah untuk tempoh 21 tahun, manakala konsesi kutipan sisa pepejal berlangsung selama 34 tahun. Kemenangan kontrak ini adalah positif bagi Malakoff kerana kumpulan ini sedang memulakan perjalanan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui (RE),” kata UOB Kay Hian.

 

Katanya, ia akan menjadi fasiliti WTE ketiga di Semenanjung Malaysia. Sebanyak 10 hingga 15 lagi fasiliti WTE dijangka akan dibangunkan dalam beberapa tahun akan datang selaras dengan usaha negara mempertingkatkan infrastruktur pengurusan sisa dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Firma penyelidikan itu berkata, anak syarikat milik penuh kumpulan itu, Alam Flora Sdn Bhd, yang merupakan antara pemegang konsesi pengurusan sisa pepejal terbesar di negara ini, mempunyai konsesi yang kukuh bernilai RM2 bilion berdasarkan keuntungan bersih tahunan sekitar RM100 juta.

 

“Alam Flora membayar dividen dalam dua tahun kebelakangan ini dan berkemungkinan terus menyokong pembayaran dividen pada tahun 2025 hingga 2026. Difahamkan, Alam Flora sedang meneroka konsesi baharu di negeri-negeri lain dalam Semenanjung Malaysia," katanya.

 

Ketika ini, Alam Flora beroperasi di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

 

Sementara itu, bagi suku kedua tahun ini (2Q25), firma penyelidikan tersebut menjangkakan terdapat kemungkinan pemulihan dalam pendapatan Malakoff memandangkan harga arang batu yang semakin meningkat boleh membawa kepada pemulihan semula bagi pelarasan inventori arang batu yang dibuat sebelum ini.

 

“Untuk makluman, keuntungan bersih 1Q25 telah terjejas dengan ketara akibat peruntukan sebanyak RM40 juta bagi nilai realisasi bersih (NRV) arang batu bagi tempoh Januari hingga Mei. 

 

"Sekitar 80% daripada peruntukan NRV ini berpunca daripada Loji Janakuasa Tanjung Bin. Kami menjangkakan sekurang-kurangnya keuntungan bersih normal sekitar RM70 juta setiap suku tahun sekiranya tiada lagi peruntukan arang batu,” kata UOB Kay Hian. - DagangNews.com