Prospek MN Holdings kukuh dengan buku pesanan tertinggi RM892.4 juta - HLIB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek MN Holdings kukuh dengan buku pesanan tertinggi RM892.4 juta - HLIB Research

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 April - Prospek operasi MN Holdings Bhd (MNH) pada tahun 2025 akan terus kukuh, disokong buku pesanan tertinggi yang pernah dicatatkan, iaitu sebanyak RM892.4 juta, serta buku tender yang kukuh bernilai RM1.5 bilion.

 

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research) berkata, ia juga didorong oleh harga yang lebih baik bagi projek Tenaga Nasional Bhd (TNB), disokong oleh bilangan kontraktor M&E yang terhad dan aliran projek yang kuat yang akan dilaksanakan dalam RP4. 

 

"MNH juga aktif melaksanakan operasi pusat data (DC) di kawasan tengah Malaysia, berbanding kawasan selatan yang dianggap sebagai langkah yang menguntungkan bagi kumpulan.

 

"Projek-projek LSS5, LSS5+ dan LSS6 juga akan memberikan kenaikan lebih lanjut pada buku pesanan MNH," kata HLIB Research dalam laporannya.

 

HLIB Research turut memaklumkan, setakat 13 Mac 2025, buku pesanan MNH mencatatkan angka tertinggi iaitu RM892.4 juta, dengan lebih 50% daripadanya datang daripada sektor DC dan projek TNB.

 

Walaupun berada dalam kedudukan yang kukuh, aktiviti tender masih berjalan dengan sihat. 

 

"Kumpulan sedang membida projek bernilai RM1.5 bilion dengan 70% daripadanya melibatkan peluang TNB dan DC," ujarnya.

 

HLIB Research menyatakan, separuh daripada tender berkaitan DC datang daripada pelanggan sedia ada, manakala separuh lagi mewakili perniagaan baharu daripada pengendali DC dari negara Barat.

 

"Kumpulan ini memilih projek yang menguatkan rekod prestasinya dan memberikan margin yang menarik," tambahnya.

 

Selain itu, HLIB Research juga menegaskan, projek-projek LSS5, LSS5+ dan LSS6 yang akan datang melibatkan kapasiti 6GW, dijangka memberi lonjakan kepada buku pesanan MNH, melepasi 4GW ESA TNB untuk pusat data.

 

"Berbeza dengan Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP), LSS memerlukan pelaksanaan yang tepat pada masanya, memastikan projek dapat dilaksanakan lebih cepat. 

 

"MNH menjangkakan kuasa harga yang lebih baik disebabkan oleh peluang pasaran yang lebih besar dengan LSS5 dan LSS5+ sahaja melebihi jumlah kuota skala utiliti yang lalu serta persaingan yang terhad antara pakar M&E," jelasnya.

 

Tambah firma penyelidikan berkenaan, kapasti projek yang lebih besar juga dijangka membawa kepada nilai kontrak yang lebih tinggi dan margin yang lebih kukuh.

 

HLIB Research mengekalkan saranan 'beli' untuk MNH dengan harga sasaran yang tidak berubah iaitu RM1.54. - DagangNews.com