KUALA LUMPUR 23 April - Prospek untuk kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) dijangka tetap lemah dalam jangka pendek, dengan kadar sewa merosot hampir 90% berbanding tahun lepas, menurut penyelidikan UOB Kay Hian (UOBKH) Research.
Katanya, kadar kapal tangki mungkin terus rendah akibat Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS), yang mungkin turut memberi kesan kepada segmen petroleum.
"Bagaimanapun, kapal tangki terutamanya Aframax milik MISC Bhd, mungkin menunjukkan daya tahan," kata UOBKH Research dalam satu nota kepada pelabur.
Menurut firma penyelidikan itu, keputusan mengejut oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya atau OPEC+ untuk mempercepat peningkatan pengeluaran telah menyebabkan harga minyak Brent merosot kepada kira-kira RM286.45 setong.
"Walaupun ini mungkin memberi kesan positif kepada permintaan kapal tangki, kami dapati penghantaran minyak mentah di seluruh dunia pada Januari hingga Februari 2025, menurun 4.8% berbanding tahun lalu.
"China, sebagai pengimport minyak terbesar dunia, mencatatkan penurunan sebanyak 7.6%, iaitu kira-kira 22% daripada jumlah dagangan global," katanya.
UOBKH Research berkata, berbeza dengan tarif terdahulu yang mengubah pola perdagangan tetapi jumlah perdagangan terus meningkat, pelaksanaan tarif kali ini mungkin membawa kepada kemelesetan dan penurunan dalam jumlah perdagangan laut.
Tambahnya, keadaan itu mungkin menyebabkan ketidaktentuan dalam kadar kapal tangki apabila struktur yuran yang disemak oleh wakil perdagangan AS memberi kesan kepada kapal buatan China.
UOBKH Research juga memaklumkan, penghantaran LNG global tidak mencatatkan pertumbuhan tahunan pada 2024 dan hanya mencatat pertumbuhannya 2.6% pada suku pertama 2025.
AS merupakan pengeksport LNG terbesar dunia, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 15% dalam jumlah penghantaran suku pertama 2025.
Namun, kadar sewa kapal LNG jatuh sehingga 90% pada Februari lalu kerana banyak kapal baharu terus dihantar, tetapi projek pencairan LNG yang baharu lewat bermula, sekali gus menyebabkan bekalan kapal berlebihan.
UOBKH Research dalam pada itu melaporkan, kapal FPSO Bunga Kertas milik MISC telah berlayar dan penempatan semula kapal tersebut berjalan lancar.
"FPSO yang berusia 40 tahun ini juga merupakan percubaan pertama MISC dalam pasaran pengeluaran luar pesisir.
"Namun, pengeluaran dihentikan sejak separuh pertama tahun 2022 kerana tidak cukup kerja penyelenggaraan di kemudahan berdekatan dan tiada pemeriksaan penting untuk memastikan bahagian bawah kapal FPSO masih dalam keadaan baik," ujarnya. - DagangNews.com








