KUALA LUMPUR 25 Ogos - Prospek Gas Malaysia Berhad diramal positif dipacu kedudukan pasaran yang kukuh selaku peruncit gas asli utama di pasaran domestik, menurut penganalisis.
Kenanga Research berkata, kumpulan itu dijangka menyaksikan pemulihan jualan pada separuh kedua tahun ini selepas kemerosotan pada 2QFY25 berpunca daripada gangguan sementara bekalan gas susulan insiden kebakaran saluran paip di Putra Heights, Selangor.
“Isipadu gas yang dinormalisasi pada 2HFY25 dijangka menyokong hasil dividen yang menarik.
"Bagaimanapun, pengecilan margin kesan daripada pembaharuan kontrak pada Januari lalu mungkin memberi tekanan terhadap keuntungan syarikat," katanya dalam saty nota kajian.
Kenanga Research mengekalkan harga sasaran berasaskan aliran tunai terdiskaun pada RM3.93 sesaham.
Firma penyelidikan itu menyukai Gas Malaysia kerana keterlihatan pendapatan yang kukuh, disokong keupayaan mengekalkan pelanggan—kebiasaannya melalui kontrak selama tiga tahun—dan aliran tunai bebas yang kukuh, sekali gus menyokong hasil dividen melebihi 5%.
Mereka mengekalkan saranan “market perform” kerana percaya faktor positif telah pun diambil kira dalam harga saham semasa.
Sementara itu, MBSB Research menjangkakan Gas Malaysia terus mencatatkan prestasi yang stabil tahun ini, disokong kedudukannya yang kukuh serta kontrak jangka panjang.
“Kami juga percaya usaha Gas Malaysia meneroka peluang pertumbuhan melalui Strategi GM32 merangkumi kepelbagaian ke dalam rumusan tenaga yang lebih bersih akan terus menjadi keutamaan.
“Kami turut menantikan permulaan operasi di stesen suntikan biometana berpusat di Kluang yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada 2HFY25," katanya.
Namun begitu, firma penyelidikan itu berpendapat, prestasi Gas Malaysia mungkin terjejas disebabkan pertumbuhan ekonomi perlahan, yang boleh membawa kepada permintaan tenaga yang sederhana di pasaran domestik.
“Kami percaya inisiatif kerajaan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi akan menggalakkan perbelanjaan perniagaan dan pengguna, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap gas.
"Ia akan memberikan daya tahan operasi kepada Gas Malaysia dalam jangka masa terdekat hingga pertengahan,” katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "Neutral" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM4.48 sesaham.- DagangNews.com








