KUALA LUMPUR 11 April — Prospek Duopharma Biotech Berhad diunjur positif dengan jangkaan pendapatan kumpulan bertambah sebanyak 41.2 peratus kepada RM88.4 juta, kata TA Research.
Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan berkenaan disokong dengan kejayaan pemerolehan kontrak Senarai Pembelian Produk Diluluskan (APPL) daripada kerajaan yang memberi petanda baik kepada perniagaan syarikat tersebut sendiri.
Katanya, peningkatan perjanjian konsesi Pharmaniaga dengan kerajaan yang menambah bekalan kepada kira-kira 1,200 unit penyimpanan stok (SKU) berbanding 815 akan memberi kesan faedah kepada Duopharma akhirnya.
"Kami tidak terkejut dengan kejayaan perolehan kontrak bernilai RM16.6 juta itu dan hasilnya bakal mengembangkan APPL dimiliki Duopharma sendiri kepada 99 SKU berbanding hanya sebanyak 50 SKU sebelum itu," katanya dalam satu nota kajian.
TA Research berkata, Duopharma telah menerima surat tawaran Pharmaniaga bagi pembekalan tiga produk farmaseutikal atau bukan farmaseutikal, dengan anggaran nilai RM16.6 juta, ke pejabat dan kemudahan yang dikawal oleh Kerajaan Malaysia.
Kontrak tambahan tersebut kata firma berkenaan, akan sah sehingga 31 Disember 2026, atau tarikh lain seperti yang diarahkan oleh Kerajaan Malaysia, berdasarkan terma perjanjian yang diberikan pada April dan Oktober 2024.
"Dengan kejayaan terbaharu berkenaan, kontrak APPL yang dipegang oleh Duopharma akan berjumlah 99 SKU, dengan anggaran nilai keseluruhannya sebanyak RM682.3 juta sehingga berakhir pada 31 Disember 2026," kata firma tersebut.
Selain itu, TA Research menjangka Duopharma mendapat banyak manfaat daripada pertukaran ringgit yang lebih kukuh kerana tempoh kontrak APPL baharu tersebut adalah berdasarkan kadar mata wang semasa iaitu RM4.70 bagi setiap AS$1.
Secara keseluruhannya, ia turut kekal optimistik terhadap prospek masa depan kumpulan itu yang didorong oleh permintaan lebih tinggi, di samping kos bahan farmaseutikal aktif semakin rendah dan faktor kecekapan kos pengurusan syarikat.
Firma penyelidikan tersebut masih mengekalkan saranan "beli" terhadap Duopharma dengan harga sasaran (TP) terus dikekalkan kepada RM1.62 sesaham. - DagangNews.com








