KUALA LUMPUR 12 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) kekal berhati-hati terhadap prospek DRB-Hicom Bhd khususnya dalam segmen automotif berikutan persaingan sengit meskipun pada masa sama berpandangan positif terhadap pengambilalihan dalam sektor aeroangkasa.
Katanya, keadaan itu ditambah dengan kesan negatif berterusan daripada Pos Malaysia Berhad dan cabang pertahanan Deftech.
Bagaimanapun, halangan itu sebahagiannya diimbangi sumbangan stabil daripada Bank Muamalat dan anak syarikat aeroangkasa Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM).
CTRM telah menandatangani perjanjian bersyarat untuk mengambil alih Spirit AeroSystems Malaysia Sdn Bhd pada harga US$95.2 juta (RM446 juta) daripada Spirit AeroSystems, Inc. dan Spirit AeroSystems International Holdings, Inc. yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
“Kami berpandangan positif terhadap pengambilalihan ini kerana pendapatan stabil Spirit AeroSystems Malaysia dijangka akan melengkapi operasi CTRM serta mengukuhkan prestasi kewangan keseluruhan DRB-Hicom," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, selepas pengambilalihan, pendapatan tahunan berkemungkinan meningkat sekitar RM45 juta, bersamaan 21.5% daripada pendapatan FY25 dan 15.4% daripada FY26.
Katanya, pengambilalihan itu akan memberikan CTRM skala operasi yang lebih besar, keupayaan teknikal yang dipertingkatkan serta kelebihan dalam rantaian bekalan, membolehkan ia bersaing dengan lebih agresif dalam pasaran aeroangkasa global serta mengukuhkan hubungan dengan OEM utama termasuk Airbus (A220, A320, A350) dan Boeing (737, 787).
Spirit AeroSystems Malaysia, yang berpangkalan di Subang, menghasilkan struktur aeroangkasa canggih dan menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, rantaian bekalan serta perkhidmatan sokongan untuk program Airbus dan Boeing.
Bagi tahun FY24, syarikat itu mencatatkan keuntungan sebanyak RM70.1 juta dan aset bersih berjumlah RM770.5 juta.
Dengan Airbus dan Boeing masing-masing menjangkakan peningkatan penghantaran pesawat dalam dekad ini, DRB-Hicom percaya CTRM yang diperbesarkan akan berada pada kedudukan yang kukuh untuk merebut permintaan aeroangkasa yang semakin meningkat, mempelbagaikan aliran pendapatan dan meningkatkan kecekapan operasi.
"Kami mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) 85 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com








