Projek sambungan NPE bawa limpahan ekonomi RM5.6 bilion ke kawasan sekitar, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek sambungan NPE bawa limpahan ekonomi RM5.6 bilion ke kawasan sekitar, kata penganalisis

Gambar/klia2.info
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Mei - Projek sambungan Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) dijangka menghasilkan manfaat limpahan ekonomi sebanyak RM5.6 bilion dan menjadi pemangkin pembangunan di kawasan pinggir Bangsar.

 

Kementerian Kerja Raya telah meluluskan projek bernilai RM1.4 bilion itu, menandakan langkah besar dalam pembangunan kemudahan Kuala Lumpur di bawah Pelan Induk Trafik 2030.

 

IJM Corp Bhd mengesahkan projek bernilai RM1.4 bilion tersebut, yang pernah dibatalkan pada 2012, kini diteruskan semula hasil kerjasama dengan kerajaan. 

 

Projek berkenaan akan dibiayai sepenuhnya oleh IJM sebagai inisiatif swasta sepenuhnya.

 

Lebuhraya sepanjang 15 kilometer itu akan dibina secara bertingkat sepenuhnya dan menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam ke susur keluar Jalan Istana melalui Jalan Syed Putra. 

 

Sambungan tersebut dijangka memperbaiki aliran trafik dengan menghubungkan NPE ke Lebuhraya Besraya dan Laluan Istana Kiara.

 

Dengan pembinaan terbaharu berkenaan, dianggarkan sehingga 40 peratus trafik dari Jalan Bangsar akan dialihkan terus ke pusat bandar Kuala Lumpur.

 

IJM kini memegang konsesi selama 34 tahun dengan dengan baki 12 tahun sebelum lanjutan.

 

NPE yang dibina sepanjang 19.6 kilometer, menjadi laluan utama dari Subang Jaya ke ibu negara dengan beberapa plaza tol penting seperti Pantai Dalam, PJS2, PJS5, serta persimpangan Kuchai Link dan Pantai Sentral Park.

 

Ia dibina antara tahun 2000 hingga 2004 dan dibuka secara rasmi pada 30 April 2004. 

 

Projek asalnya dikendalikan oleh Road Builder (M) Holdings Bhd yang kemudian diambil alih oleh IJM pada 2007.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan IJM, Datuk Lee Chun Fai berkata, kelulusan projek itu merupakan pencapaian penting dalam usaha kumpulan meningkatkan jaringan pengangkutan bandar di Lembah Klang.

 

Selain NPE, IJM juga memiliki sepenuhnya Besraya (M) Sdn Bhd yang mengendalikan Lebuh Raya Sungai Besi sepanjang 28.9 kilometer, dengan konsesi sehingga 2046. 

 

IJM juga memegang 50 peratus saham dalam Lebuh Raya Kajang-Seremban Sdn Bhd dan 41 peratus dalam West Coast Expressway Sdn Bhd.

 

IJM turut mengendalikan empat lebuh raya di India dan satu di Buenos Aires, Argentina.

 

CIMB Securities berkata, projek berkenaan menyumbang sebanyak RM1.4 bilion kepada bahagian pembinaan IJM dan mengukuhkan strategi kumpulan dalam lebuh raya tol serta pendapatan berterusan.

 

Walaupun keuntungan sebelum cukai dari bahagian tol IJM turun 58% kepada RM27.1 juta dalam sembilan bulan hingga 31 Disember 2024, CIMB masih memberi penarafan 'beli' untuk saham IJM dengan sasaran harga RM3.26 sesaham.

 

Public Investment Bank turut mengekalkan saranan 'beli' dan sasaran harga yang sama, menyifatkan projek sambungan NPE sesuai dengan strategi jangka panjang IJM dan akan menjana pendapatan berterusan yang ketara.

 

Kedua-dua firma penyelidikan itu berkata, setakat ini ia belum mengambil kira sumbangan pendapatan daripada lanjutan konsesi. - DagangNews.com