Projek RTS Link bakal lonjak operasi HI Mobility didorong peningkatan aktiviti rentas sempadan - Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek RTS Link bakal lonjak operasi HI Mobility didorong peningkatan aktiviti rentas sempadan - Kenanga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - HI Mobility Bhd dianggar menjadi penerima manfaat utama daripada akitiviti rentas sempadan didorong pembangunan Projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru–Singapura (RTS Link).

 

Kenanga Research berkata, pembinaan RTS Link akan memberi kelebihan operasi melalui keadaan trafik yang lebih lancar.

 

Katanya, dengan keadaan jalan kurang sesak, HI Mobility boleh meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas pada waktu puncak tanpa perlu menambah bilangan kenderaan, sekali gus meningkatkan keberkesanan operasi. 

 

 

 

 

 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan jumlah penumpang diramal sekitar 10% pada FY26 dan 15% pada FY27 dengan potensi pertumbuhan lebih tinggi sekiranya kumpulan itu berjaya meluaskan perkhidmatan bas pengantara.

 

"Terdapat peluang besar yang belum dimanfaatkan dalam pasaran sambungan awal dan perjalanan akhir. 

 

"Pasaran bernilai RM177 juta telah dikenal pasti untuk menyediakan perkhidmatan dari dan ke stesen RTS ke destinasi akhir. Walaupun masih belum dimasukkan dalam unjuran semasa kerana menunggu kejelasan mengenai proses tender, penguasaan 30% pasaran ini boleh memberi HI Mobility kontrak bernilai RM53.1 juta," katanya dalam satu nota kajian.

 

Kenanga Research berkata, RTS Link semakin hampir untuk beroperasi, potensinya untuk mengurangkan kesesakan trafik rentas sempadan dan mengubah corak perjalanan harian kian mendapat perhatian. 

 

Katanya, bagi pengendali pengangkutan awam seperti HI Mobility, projek itu bukan sahaja menawarkan lonjakan operasi dalam masa terdekat, malah membuka peluang pertumbuhan jangka panjang yang lebih luas.

 

 

 

 

 

 

"Kehadiran kukuh HI Mobility di Johor, Melaka dan Lembah Klang, bersama perkhidmatan sewaan khas untuk zon perindustrian dan pekerja kilang, selari dengan matlamat ini, membolehkannya mengambil peluang daripada lonjakan permintaan dalam perkhidmatan mobiliti awam dan berasaskan kontrak.

 

"Kami memberikan harga wajar (FV) RM2.18 sesaham," katanya.- DagangNews.com