KUALA LUMPUR 2 Sept – Pelancaran projek baharu bernilai RM2 bilion oleh IOI Properties Group Bhd dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan syarikat pada tahun kewangan 2026 dengan penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) turut berpotensi mengukuhkan asas pendapatan masa depan, menurut penganalisis.
Langkah itu diyakini akan mengekalkan momentum pertumbuhan syarikat walaupun berdepan penyusutan keuntungan bersih dalam keputusan suku keempat berakhir 30 Jun 2025 (4Q25).
Dalam laporan kewangan yang diumumkan minggu lalu, keuntungan bersih IOI Properties merosot 47% tahun ke tahun, dipengaruhi keuntungan nilai saksama yang lebih rendah daripada hartanah pelaburan serta peningkatan kos faedah.
Walaupun begitu, hasil syarikat meningkat 14%, mencerminkan prestasi operasi yang stabil.
IOI Properties turut mengisytiharkan dividen interim lapan sen sesaham sebagai tanda komitmen kepada pemegang saham.
Saranan Beli & REIT Jadi Pemangkin
Hong Leong Investment Bank Research mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran RM4.05, sambil menjangkakan pemulihan pendapatan lebih kukuh daripada jangkaan pasaran.
Firma penyelidikan itu turut menekankan penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) bagi aset tempatan IOI Properties sebagai langkah strategik yang bakal membuka nilai baharu kepada pelabur.
“Penyenaraian REIT, yang dijangka direalisasikan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan dengan Maybank Investment Bank Bhd dan AmInvestment Bank Bhd sebagai penasihat utama bersama, dilihat sebagai langkah strategik untuk membuka nilai baharu aset hartanah syarikat,” kata HLIB Research dalam nota kajiannya.
TA Research turut memberi nada positif apabila mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran RM2.78.
Firma penyelidikan itu berkata, pelancaran projek baharu di Malaysia untuk tahun kewangan 2026 (FY26) termasuk pembangunan bertingkat tinggi di Bandar Puteri Puchong, 16 Sierra dan IOI Resort City, serta projek kediaman bertanah di Kulai, Johor masih mendapat permintaan kukuh.
“Segmen pelaburan hartanah dijangka terus menjadi penyumbang utama, dipacu aliran pendapatan berulang yang stabil, semakan sewa portfolio runcit sebanyak 6% dan kenaikan penilaian pusat beli-belah.
“Selain itu, sektor hospitaliti dan rekreasi dijangka mendapat manfaat daripada penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026, walaupun sebahagiannya berdepan cabaran makro khususnya bagi hotel baharu Sheraton Grand Xiamen Jimei di China,” katanya.
Namun, MBSB Research mengekalkan saranan “neutral” dengan harga sasaran disemak semula kepada RM2.09 daripada RM2.15.
Firma penyelidikan tersebut menurunkan unjuran keuntungan bagi FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 38% dan 32% berikutan ketidakpastian terhadap prospek pendapatan.
MBSB turut menekankan bahawa nisbah hutang bersih IOI Properties kekal tinggi pada 0.7 kali, sekali gus mengehadkan ruang untuk pertumbuhan agresif.
“Walaupun begitu, ia menjangkakan jualan baharu akan kekal sekitar RM2 bilion dengan projek di Malaysia sebagai penyumbang utama.
“Jualan belum dibilkan juga meningkat kepada RM851 juta dalam 4Q25 berbanding RM718 juta dalam 3Q25, memberi sedikit sokongan kepada aliran tunai syarikat,” kata firma itu.- DagangNews.com








