KUALA LUMPUR 25 April - Kejayaan meraih kontrak kerja reka bentuk dan pembinaan Pusat Konvensyen Borneo Kuching II bernilai RM550 juta oleh Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS), meningkatkan nilai buku tempahan syarikat serta menjamin pendapatannya sehingga tahun kewangan 2028 (FY28).
Menurut MIDF Research, ia juga adalah bukti keupayaan dan rekod prestasi kukuh CMS dalam melaksanakan projek kemudahan berskala besar yang dijangka terus menyokong syarikat itu walaupun dalam suasana perdagangan global yang tidak menentu.
Katanya, projek tersebut dimenangi oleh anak syarikat CMS, CMS Land Sdn Bhd, melibatkan kerja-kerja reka bentuk dan pembinaan pusat konvensyen di daerah Muara Tebas, Kuching, Sarawak.
Pembinaan telah bermula dan dijangka siap pada suku pertama 2028.
MIDF Research berkata, penglibatan CMS dalam projek kemudahan kerajaan berprofil tinggi mencerminkan peranan penting syarikat dalam pembangunan ekonomi dan infrastruktur Sarawak yang sedang giat dijalankan.
"CMS menunjukkan prestasi margin keuntungan operasi yang stabil bagi projek kemudahan sebelum ini.
"Kami jangka margin yang sama akan dicapai untuk projek ini kerana ia turut mendapat manfaat daripada sinergi dalaman dan kecekapan kos," kata MIDF Research dalam satu nota kajian.
Firma itu turut menambah, penyertaan CMS dalam projek-projek yang didorong oleh kerajaan negeri memberi jaminan kepada kesinambungan jangka panjang bagi segmen pembinaan dan infrastrukturnya.
Bagaimanapun, CMS juga dijangka berdepan cabaran biasa industri seperti turun naik harga bahan binaan, kekurangan tenaga kerja dan kemungkinan kelewatan projek.
Sebagai pemain dalam sektor bahan binaan, CMS turut berisiko menghadapi tekanan daripada kemasukan bahan binaan import yang lebih murah, terutamanya simen dari China.
"Pengeluar tempatan sebelum ini dilindungi oleh harga dalam negara yang stabil. Tetapi dengan lambakan import murah, mungkin akan berlaku tekanan harga dan kehilangan bahagian pasaran.
"Keadaan ini mungkin memaksa syarikat meningkatkan kecekapan operasi, mengawal kos dengan lebih ketat atau mendapatkan perlindungan dasar daripada kerajaan bagi kekal bersaing," jelas MIDF Research.
Bagaimanapun, firma itu menekankan, kehadiran pasaran CMS yang kukuh dan rangkaian bekalan yang menyeluruh dapat membantu mengekalkan daya tahan syarikat terhadap tekanan tersebut.
Model perniagaan CMS yang disokong oleh anak syarikatnya, Cahya Mata Cement Sdn Bhd, memberi kekuatan tambahan dalam mengurus gangguan rantaian bekalan dan turun naik harga bahan mentah.
"Dengan kemudahan bekalan tempatan yang mantap dan rangkaian perolehan yang cekap, kumpulan ini mampu menyiapkan projek mengikut jadual dan mengawal kos walaupun berdepan ketidaktentuan global," ujarnya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas CMS, namun menyemak semula harga sasarannya daripada RM1.75 kepada RM1.11 sesaham. - DagangNews.com








