Projek pusat data pacu pertumbuhan Sunway Construction, unjuran kukuh hingga FY27 - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek pusat data pacu pertumbuhan Sunway Construction, unjuran kukuh hingga FY27 - Penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis – Sunway Construction Group Berhad dijangka terus mencatat prestasi kukuh pada tahun kewangan 2026, disokong oleh projek pembangunan pusat data (DC) yang menjadi pemacu utama pendapatan kumpulan, kata penganalisis.

 


Buku pesanan syarikat yang kukuh, prospek pertumbuhan yang positif dalam sektor pembinaan, khususnya projek DC serta projek infrastruktur dan tenaga boleh diperbaharui adalah antara faktor yang mendorong kepada ramalan tersebut. 

 

Penganalisis berpendapat projek terbaharu DC di Johor bernilai RM570 juta daripada syarikat teknologi multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat akan menyumbang secara positif kepada keuntungan FY26.

 

Tidak sekadar itu, malah turut berpotensi berkembang melalui pakej kerja pemasangan mekanikal dan kejuruteraan yang dijangka dapat menambah nilai sekurang-kurangnya RM500 juta lagi.

 

Dua firma penyelidikan, RHB Research dan MBSB Research mengekalkan saranan Beli ke atas saham Sunway Construction, dengan RHB meletakkan sasaran harga pada RM7.32 manakala MBSB mengekalkan sasaran harga RM6.53 berbanding harga pasaran semasa RM5.66 berikutan potensi pertumbuhan kukuh dalam segmen pembinaan pusat data serta prestasi kewangan yang mantap.

 

Selain itu, kedua-dua firma penyelidikan itu menekankan bahawa buku pesanan Sunway Construction kini mencecah sekitar RM6 bilion, dengan hampir 43% diperuntukkan untuk projek DC. 

 

RHB Research berkata Sunway Construction telah mencapai sasaran baharu FY25 dengan buku pesanan terkini RM5.44 bilion, dan projek DC di Johor menandakan pencapaian kedua syarikat untuk FY25 bernilai RM1.8 bilion. 

 

Firma penyelidikan itu menekankan bahawa projek DC memberi pulangan lebih baik berbanding projek pembinaan tradisional, dengan jangkaan margin yang lebih tinggi dan tempoh pelaksanaan lebih cepat.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunway Construction raih kontrak pusat data bernilai RM570 juta di Johor

 

“Selain DC, syarikat dijangka mendapat peluang tambahan melalui projek berkaitan pembangunan hartanah Sunway Bhd, termasuk projek Seremban Sentral dan kemungkinan pengembangan JHB1X0 DC. 

 

“Potensi projek DC di Lembah Klang juga dilihat sebagai pemangkin penarafan semula saham sekiranya berjaya diperoleh,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Menurut firma tersebut, Sunway Construction mengekalkan kedudukan kewangan kukuh dengan baki buku pesanan RM6.1 bilion dan tender aktif bernilai RM17 bilion, sekitar 80% daripadanya adalah projek DC. 

 

Firma itu menekankan bahawa projek DC menyokong pertumbuhan kumpulan dengan model perolehan yang lebih cekap, memberi ketelusan pendapatan sehingga FY27.

 

“Permintaan berterusan untuk model perolehan ICT berasaskan langganan dan inisiatif pendigitalan akan terus menyokong segmen pembiayaan teknologi dan penyelesaian awan, selaras dengan fokus syarikat dalam menyediakan perkhidmatan untuk sektor awam dan swasta,” katanya.

 

Sementara itu, MBSB Research pula berkata, Sunway Construction mempunyai asas kukuh, imbangan kewangan yang tahan lasak dan prospek pertumbuhan yang menjanjikan dalam sektor pembinaan terutamanya pusat data.

 

“Projek DC di Johor adalah pencapaian penting yang menyumbang positif kepada keuntungan FY26, dengan potensi pengembangan melalui pakej kerja mekanikal dan kejuruteraan yang dijangka dianugerahkan pada suku pertama 2026. 

 

“Buku pesanan Sunway Construction kini mencecah RM6.01 bilion, menyediakan ketelusan pendapatan sehingga FY27,” kata firma itu. 

 

Kumpulan juga aktif mengejar peluang baharu termasuk projek awam dan komersial yang berprofil tinggi, seperti projek LRT Penang dan pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Penang.

 

Justeru, MBSB Research mengekalkan unjuran kewangan dan harga sasaran RM6.53, berdasarkan EPS FY26F sebanyak 24.2 sen dan P/E 27x, sejajar dengan purata dua tahun sebelumnya. 

 

“Prospek pertumbuhan syarikat kekal positif dengan tumpuan pada projek DC sebagai pemacu margin dan keuntungan jangka panjang,” katanya. - DagangNews.com