Projek pusat data, kemudahan awam terus pacu sektor pembinaan 2025 - Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek pusat data, kemudahan awam terus pacu sektor pembinaan 2025 - Kenanga

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 April - Projek kemudahan awam dan pusat data akan terus menggerakkan syarikat dalam sektor pembinaan tahun ini, walaupun terdapat cabaran yang menyebabkan penurunan ketara dalam saham-saham pembinaan.

 

Kenanga Research kekal optimis terhadap sektor itu, kerana perkembangannya dijangka berterusan sehingga tahun 2025.

 

Jelasnya, ia didorong langkah syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS) yang terus mengembangkan pusat data di Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, maklum balas daripada kontraktor menunjukkan tender kerja pusat data masih aktif, dipacu oleh perbelanjaan modal yang berterusan daripada syarikat teknologi utama.

 

Syarikat pembinaan juga menetapkan sasaran pengisian projek berprofil tinggi untuk tahun 2025.

 

Kenanga Research memberikan penarafan 'lebih berat' untuk sektor berkenaan dengan Gamuda Bhd sebagai saham pilihan utama.

 

Saham Gamuda diberi penarafan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM4.90 sesaham.

 

"Pemilihan Gamuda dibuat kerana peranannya dalam projek Laluan Mutiara LRT Pulau Pinang, keupayaannya untuk mendapatkan projek baharu di luar negara dan kekuatan kewangannya selepas penjualan lebuh raya tol mereka.

 

"Selain itu, ketelusan pendapatan yang kukuh berdasarkan buku pesanan tertunggak yang mencatatkan rekod sebanyak RM37 bilion dan kemajuan syarikat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui juga merupakan satu kelebihan," kata Kenanga Research dalam satu nota kajian.

 

Kenanga Research menambah, penjualan saham yang baru-baru ini berlaku memberi peluang pembelian yang baik, terutamanya untuk pembina dengan modal besar seperti Sunway Construction Group Bhd (outperform, TP: RM5.31 sesaham) dan IJM Corp Bhd (outperform, TP: RM3 sesaham).

 

Ia percaya, aliran kontrak yang kukuh akan berterusan walaupun pelaksanaan MRT 3 masih belum pasti.

 

Antara projek besar lain adalah pengembangan Lapangan Terbang Pulau Pinang, fasa kedua Lebuhraya Pan Borneo dan Jalan Sabah-Sarawak Link, pelan pembangunan semula Lapangan Terbang Subang dan LRT Johor.

 

Sektor berkenaan juga melihat Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura sebagai prospek jangka sederhana.

 

Selain itu, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura menawarkan prospek besar untuk sektor tersebut.

 

Selain projek pusat data, pembangunan industri seperti kilang semikonduktor dijangka memacu pertumbuhan projek sektor swasta.

 

Kenanga Research mengekalkan unjuran anugerah kontrak tahunan purata selama tiga tahun sebanyak RM180 bilion dari 2024 hingga 2026.

 

Menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, sehingga tahun ini, sejumlah RM18.9 bilion kontrak pembinaan utama telah dianugerahkan pada akhir Februari 2025, berbanding RM221.7 bilion pada 2024.

 

Sejak awal tahun ini, sentimen dalam sektor pembinaan terjejas akibat kebimbangan mengenai peraturan kecerdasan buatan (AI) yang diperkenalkan oleh AS kerana ia mungkin memberi kesan kepada pelaksanaan perancangan pusat data di negara tersebut.

 

Kebimbangan itu bertambah dengan pengenalan model AI China, DeepSeek, yang menimbulkan kerisauan kos yang lebih rendah mungkin memerlukan ruang pusat data yang lebih kecil, yang berpotensi mengurangkan permintaan. 

 

Hal berkenaan menyebabkan penjualan saham yang besar dalam sektor pembinaan, menurut laporan tersebut. - DagangNews.com