Projek pembinaan apartmen servis di Iskandar Puteri diramal sumbang pendapatan purata 4.7% kepada MGB - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek pembinaan apartmen servis di Iskandar Puteri diramal sumbang pendapatan purata 4.7% kepada MGB - PublicInvest

Bangunan apartmen di Iskandar Puteri yang berdepan dengan Puteri Harbour. - Gambar Hiasan
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Projek pembinaan dua apartmen servis di Iskandar Puteri, Johor Bahru yang diraih MGB Berhad diramal menyumbang pendapatan kira-kira 4.7% setahun secara purata kepada kumpulan sepanjang tempoh kontrak selama 27 bulan, kata Public Investment Bank (PublicInvest).

 

Katanya, kejayaan memperoleh projek itu menyaksikan buku tempahan kumpulan telah mencecah RM1.2 bilion, memberikan jaminan pendapatan untuk tempoh antara dua hingga tiga tahun akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran pihaknya menunjukkan projek ini akan menyumbang kira-kira 4.7% setahun secara purata dari FY25 hingga FY27, dengan andaian margin satu digit tinggi.

 

"Kumpulan itu terus mengutamakan pembinaan rumah mampu milik dengan memanfaatkan inovasi, kemajuan teknologi, dan penambahbaikan dalam proses pembinaannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MGB terima kontrak RM186 juta bina 2 apartmen servis di Iskandar Puteri

 

"Ia berhasrat memperoleh projek baharu dan mengembangkan keupayaannya dalam sektor perindustrian. Dalam jangka masa terdekat, pemacu pertumbuhan yang berpotensi termasuk pembangunan Taman Perindustrian Kertih Terengganu dan usaha sama di Arab Saudi," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kontrak itu diperoleh daripada CI Medini Sdn Bhd bagi pembinaan dua blok apartmen servis bersama tempat letak kereta setinggi tujuh tingkat dan satu aras untuk kemudahan yang akan disiapkan dalam dua fasa.

 

Fasa pertama dijadualkan bermula pada September 2025, manakala fasa kedua dijangka bermula pada pertengahan 2026, dengan kedua-dua fasa disasarkan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2027.

 

PublicInvest mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan tanpa sebarang perubahan memandangkan projek itu merupakan sebahagian daripada sasaran penambahan kontrak sebanyak RM600 juta bagi FY25. 

 

"Kami mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM1.00 sesaham," katanya. - DagangNews.com