KUALA LUMPUR 5 Mei - Kelington Group Bhd kekal optimis terhadap prestasi pertumbuhannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), dengan projek gas industri ketulenan ultra tinggi (UHP) menyumbang 71% atau RM910 juta daripada buku pesanan syarikat.
Syarikat berkata, sehingga 31 Disember 2024, Kelington mencatatkan jumlah buku pesanan sebanyak RM1.27 bilion dan syarikat berjaya memperoleh kontrak melebihi RM1 bilion setiap tahun.
Katanya, penglibatan dalam projek UHP menguntungkan kerana memberi pulangan yang lebih tinggi.
"Permintaan terhadap UHP meningkat seiring dengan pertumbuhan industri semikonduktor dunia, yang didorong oleh penggunaan teknologi AI, pendigitalan dan usaha negara seperti China untuk berdikari dalam bidang teknologi," kata Kelington dalam laporan tahunan syarikat.
Pada FY24, kumpulan itu mencatat keuntungan bersih sebanyak RM124.3 juta, meningkat 19.4% berbanding RM104.1 juta pada FY23.
Bagaimanapun, hasil jualan menurun sedikit kepada RM1.27 bilion berbanding RM1.61 bilion sebelumnya.
Kelington dalam pada itu berkata, pihaknya melihat inisiatif kerajaan, khususnya Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju sektor berkenaan.
"Kejayaan pelaksanaan NSS amat penting untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global, menarik pelaburan bernilai tinggi dan memperkukuh keupayaan rantaian bekalan tempatan agar negara kekal berdaya saing," jelasnya.
Selain itu, Kelington berkata, ia juga memberi tumpuan kepada perniagaan gas industri bagi mempelbagaikan pendapatan syarikat.
Tambahnya, permintaan tinggi terhadap karbon dioksida cecair (LCO₂) daripada pengeluar makanan dan minuman dari rantau lain turut menyumbang kepada pertumbuhan segmen berkenaan.
"Kumpulan juga telah memperoleh baki 9.29% ekuiti dalam Ace Gases Sdn Bhd pada November 2024, memberikan pemilikan penuh dan membolehkan kumpulan menggabungkan 100% keuntungan syarikat tersebut," ujarnya.
Menurut RHB Research, FY25 dijangka menjadi tahun yang cemerlang bagi Kelington, dengan prestasi kukuh dijangka berterusan disokong oleh projek-projek UHP berprofil tinggi dan pertumbuhan dalam segmen gas industri.
Buku pesanan yang sihat dan buku tender melebihi RM2 bilion menunjukkan prospek positif untuk kumpulan tersebut. - DagangNews.com








