KUALA LUMPUR 8 Sept - Sektor pembinaan tempatan dijangka menerima suntikan baharu apabila pemberian kontrak Aliran Transit Automasi (ART) di Johor yang dianggarkan bernilai antara RM6 bilion hingga RM7 bilion bakal diumumkan menjelang hujung tahun ini, kata RHB Research.
Difahamkan, tiga konsortium telah mengemukakan cadangan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan proses penilaian kini berada di peringkat akhir.
Katanya, sistem ART yang dirancang sebagai laluan bertingkat ini merupakan sebahagian daripada usaha menaik taraf sistem pengangkutan bandar Johor bagi menyokong pertumbuhan penduduk serta aktiviti ekonomi di Iskandar Malaysia.
"Projek ART bakal membuka peluang besar kepada syarikat kontraktor tersenarai, khususnya yang mempunyai rekod kukuh dalam pembinaan infrastruktur rel.
"Pelaksanaan ART Johor merupakan antara projek bukan pusat data terbesar dalam barisan projek 2025.
"Bersama dengan projek mega lain seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, sektor ini dijangka memasuki kitaran pertumbuhan baharu yang disokong oleh inisiatif kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, selain Johor, tender untuk kerja-kerja LRT Pulau Pinang bernilai RM3 bilion hingga RM4 bilion akan diumumkan pada separuh kedua 2025, manakala Segmen 2 LRT Pulau Pinang (Komtar–Penang Sentral) yang bernilai RM5 bilion hingga RM6 bilion dijangka dibuka untuk bidaan pada Oktober ini.
Katanya, ruang pusat data dijangka kekal aktif dengan lima perjanjian pembekalan elektrik (ESA) bagi tujuh projek pusat data di Malaysia dengan jumlah permintaan elektrik sebanyak 733MW bagi tahun antara 1 Januari hingga 15 Ogos 2025.
Dengan mengambil kira nisbah keberkesanan penggunaan tenaga yang konservatif pada kadar 1.4, permintaan maksimum elektrik sebanyak 733MW oleh pusat data dijangka bersamaan dengan sekitar 524MW kapasiti pusat data.
"Kapasiti ini boleh diterjemahkan kepada nilai kerja pembinaan sekitar RM10.5 bilion, berdasarkan penanda aras kos pembinaan sebanyak RM20 juta bagi setiap MW," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" untuk sektor itu. - DagangNews.com








