KUALA LUMPUR 15 Dis – MISC Berhad (MISC) dan China Offshore Engineering & Technology Company Limited telah menerima sijil Kelulusan Prinsip Rekabentuk (Approval in Principle, AiP) daripada American Bureau of Shipping (ABS) bagi konsep kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FSPO) Ammonia pada 2 Disember 2025 sempena Marintec 2025 di Shanghai, China.
Kelulusan prinsip ini membuktikan ABS telah meneliti reka bentuk Ammonia FPSO dan mengesahkan ia mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan sedia ada dan memberi keyakinan untuk meneruskan pembangunan projek ke peringkat seterusnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MISC, Zahid Osman berkata, konsep Ammonia FPSO itu ialah menyesuaikan teknologi pengeluaran darat yang telah terbukti untuk operasi luar pesisir, menukar gas hidrokarbon yang tidak dimanfaatkan daripada kemudahan luar pesisir berhampiran menjadi ammonia biru bernilai tinggi.
“Ammonia ini disimpan di atas FPSO dalam bentuk cecair pada suhu rendah atau cryogenic.
“Projek ini membolehkan syarikat memanfaatkan gas yang sebelum ini hanya dibuang atau dikembalikan ke telaga, dengan menukarnya menjadi ammonia.
“Secara strategik, ia memendekkan rantaian bekalan ammonia dan menambah baik profil pelepasan karbon dari telaga ke pintu keluar (well-to-gate),” katanya dalam satu kenyataan.
Konsep Ammonia FPSO selaras dengan strategi #deliveringProgress syarikat dan mempercepatkan penyediaan tenaga dengan pelepasan lebih rendah.
Beliau menegaskan projek ini hasil kerjasama strategik yang memacu perubahan bermakna dalam industri luar pesisir.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Global Offshore ABS, Miguel Hernandez berkata, pihaknya berkongsi kepakaran teknikal dan memberi pandangan mendalam mengenai cabaran keselamatan berkaitan ammonia.
Ammonia FPSO direka untuk menerima gas daripada kemudahan hos berhampiran, seperti unit FPSO pengeluar minyak.
Setelah kapasiti penyimpanan mencapai tahap optimum, ammonia cecair boleh dieksport terus kepada kapal pengangkut ammonia cecair (Liquid Ammonia Carrier, LAC).

Loji pemprosesan atas (topside) direka dengan keupayaan memproses pelbagai spesifikasi gas suapan untuk menghasilkan ammonia bersih dengan ketulenan 99.8 peratus.
Projek ini kini berada dalam fasa Front-End Engineering Design (FEED), dengan pencapaian AiP direalisasikan pada suku keempat 2025.
Kajian Pra-FEED, termasuk penilaian terperinci perbelanjaan modal dan operasi (CAPEX & OPEX), dijangka selesai pada suku pertama 2026.
Ia direka untuk kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 1 juta tan ammonia cecair.
Inisiatif ini dibangunkan bersama oleh MISC dan China Offshore, yang bekerjasama rapat dengan pemberi lesen teknologi ammonia, KBR, dan LNT Marine untuk reka bentuk sistem penyimpanan kargo ammonia (LNT A-BOX System).
ABS dilantik untuk menjalankan semakan bebas dan mengesahkan kebolehlaksanaan teknikal serta aspek keselamatan projek.
Projek Ammonia FPSO dijangka menyokong tenaga rendah karbon, mengurangkan pelepasan gas rumah kaca, dan meningkatkan kecekapan penggunaan sumber luar pesisir yang ada.
Ia juga membuka peluang untuk pembangunan kapasiti teknikal tempatan dalam sektor kejuruteraan marin dan tenaga.
MISC merupakan syarikat maritim antarabangsa dengan pengalaman lebih 55 tahun, manakala China Offshore ditubuhkan pada 2021 bagi menyediakan penyelesaian inovatif dan lestari dalam pembangunan sumber luar pesisir.
ABS pula merupakan peneraju global dalam klasifikasi, pensijilan dan pengesahan aset marin dan luar pesisir. - DagangNews.com








