KUALA LUMPUR 29 Ogos - Pengeluaran buah tandan segar (BTS) IOI Corp Berhad dijangka lebih tinggi pada FY26 disokong profil ladang yang lebih muda dan pokok kelapa sawit baharu yang mula mencapai tahap kematangan.
Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, ia dapat mengimbangi kesan daripada program penanaman semula agresif yang sedang di laksanakan di kawasan ladang kumpulan di Sabah.
Katanya, pertambahan hasil BTS itu akan menjadi pemacu utama prestasi segmen perladangan kumpulan pada tahun hadapan sekali gus memberikan sokongan kepada pertumbuhan keuntungan asas meskipun berdepan cabaran seperti kos input tinggi dan turun naik harga komoditi.
Firma penyelidikan itu berkata, sepanjang FY25, IOI Corp mencatatkan pengeluaran BTS sebanyak 2.8 juta metrik tan, meningkat 1.2% tahun ke tahun.
Hasil purata BTS juga mencatat pertumbuhan kukuh daripada 19.34 tan metrik bagi setiap hektar kepada 20.49 tan metrik bagi setiap hektar, petunjuk jelas pokok muda mula menyumbang secara aktif kepada pengeluaran.
"Walaupun sedang melaksanakan program penanaman semula secara agresif di Sabah, profil umur ladang kumpulan adalah seimbang dan ia akan membantu memastikan pengeluaran BTS terus meningkat pada FY26," katanya dalam satu nota kajian.
PublicInvest berkata, penurunan kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) juga memberi kelebihan kepada IOI Corp, dengan kos menurun daripada RM2,179 bagi setiap tan metrik kepada RM2,004 bagi setiap tan metrik pada suku keempat FY25 (4QFY25), didorong peningkatan produktiviti dan kecekapan operasi.
Bagaimanapun, katanya, segmen hiliran kumpulan seperti penapisan dan oleokimia akan terus berdepan tekanan margin akibat persaingan sengit, terutama dari syarikat Indonesia, serta lambakan bekalan global dan harga bahan mentah yang tinggi.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM4.33 sesaham.
Sementara itu, RHB Research menjangkakan pendapadatan segmen huluan IOI Corp akan terus mencatatkan prestasi positif disokong harga MSM yang kekal tinggi.
Katanya, pada masa sama, kumpulan itu sedang meneroka usaha niaga baharu bagi mempelbagaikan aliran pendapatannya.
Firma penyelidikan itu berkata, pengeluaran BTS melonjak 28% pada 4QFY25, menjadikan pertumbuhannya pada FY25 kepada naik 1.3% selari dengan sasaran pertumbuhan 1% hingga 2% bagi FY25.
"Bagi bulan pertama FY26 (1MFY26), pengeluaran BTS meningkat sebanyak 1.5%. IOI Corp memberikan panduan pertumbuhan BTS sebanyak 3% hingga 5% YoY bagi FY26.
"Sehubungan itu, kami menyemak naik unjuran pertumbuhan BTS kepada 3% hingga 4% bagi FY26 hingga FY27," katanya.
RHB Research mengekalkan saranan "beli" dengan TP RM4.40 sesaham.- DagangNews.com








