KUALA LUMPUR 7 Jan – Pro Qaseh Technique Sdn Bhd memperluaskan penglibatan perniagaannya di peringkat serantau dengan bertindak sebagai penyelaras antara pelabur dan Kerajaan Aceh bagi meneroka peluang pelaburan dalam industri minyak dan gas di Wilayah Aceh, Indonesia.
Inisiatif itu bertujuan membuka ruang kerjasama kepada syarikat-syarikat dari Malaysia yang mempunyai keupayaan kewangan serta kepakaran teknikal untuk menyertai pelaburan strategik, khususnya berkaitan pembangunan dan pengaktifan semula aset minyak dan gas sedia ada di Aceh.
Pengarahnya, Tunku Faris Tunku Khalil berkata usaha tersebut selari dengan hasrat kerajaan tempatan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menarik pelaburan asing yang mampan dan berdaya maju.
“Sebagai penyelaras, Pro Qaseh Technique berperanan memudah cara komunikasi dan libat urus antara pelabur serta pihak berkuasa di Wilayah Aceh, termasuk penyelarasan awal berkaitan peluang pelaburan, kefahaman terhadap kerangka peraturan tempatan dan keperluan teknikal projek.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap potensi pelaburan dapat dinilai dan dilaksanakan secara lebih berstruktur serta selaras dengan keperluan semua pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berpangkalan di Kerteh Terengganu, penyedia rumusan pembinaan berkemahiran tinggi untuk sektor luar pesisir dan tenaga hijau yang ditubuhkan pada tahun 2005 itu berjaya menyempurnakan lebih 200 projek sehingga kini.
Sumber industri memaklumkan bahawa pendekatan kerjasama yang lebih tersusun ini dijangka dapat meningkatkan keyakinan pelabur luar, di samping membantu kerajaan tempatan memanfaatkan sumber tenaga secara lebih optimum.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa Persatuan Perdagangan dan Perusahaan Melayu Malaysia (PERDASAMA) berkata penglibatan syarikat Malaysia turut membuka peluang kepada pemindahan kepakaran, penggunaan teknologi serta pembangunan tenaga kerja tempatan.
“Melalui platform ini, syarikat-syarikat Malaysia yang berminat dan berkelayakan dialu-alukan meneroka potensi penyertaan dalam pelaburan industri minyak dan gas di Aceh,” katanya.
Kerjasama rentas sempadan ini dijangka menyumbang kepada pengukuhan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Aceh, di samping menyokong pembangunan sektor tenaga yang lebih mampan dan berdaya saing di rantau ini. - DagangNews.com








