KUALA LUMPUR 16 Dis – PRG Holdings Bhd melalui anak syarikatnya, Texstrip Manufacturing Sdn Bhd (TMSB), telah menandatangani perjanjian jual beli untuk memperoleh sebuah tanah hak milik kekal seluas 2,060 meter persegi di Klang, Selangor, daripada Time IT IN E (Pantai Timur) Sdn Bhd dengan harga RM6.1 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PRG berkata, hartanah itu terdiri daripada sebuah kilang separa berkembar satu tingkat dan sebuah bangunan pejabat dua tingkat.
“Ia telah digunakan oleh TMSB sebagai kawasan pembungkusan bagi menyokong operasi kilang selama 15 tahun.
“Hartanah ini terletak berhampiran kilang sedia ada, menjadikannya strategik dan efisien dari segi operasi,” katanya dalam makluman tersebut.
Menurut PRG, pemilikan hartanah ini memberikan kestabilan jangka panjang, menghapuskan risiko kenaikan sewa atau tidak diperbaharui, serta mengurangkan kos dan gangguan operasi sekiranya terpaksa berpindah.
Dari segi kewangan, pembelian ini mengubah pembayaran sewa yang berulang kepada aset bernilai yang menambah kekuatan pada imbangan syarikat.
Pembelian ini dijangka disiapkan pada suku ketiga 2026, tertakluk kepada kelulusan bertulis daripada Pihak Berkuasa Negeri Selangor kerana TMSB diklasifikasikan sebagai syarikat asing mengikut Seksyen 433A dan 433B Kanun Tanah Negara (Pindaan 2020).
PRG berkata, pembelian ini adalah langkah strategik yang memberi manfaat operasi dan kewangan jangka panjang dan tiada penglibatan langsung pengarah atau pemegang saham utama dalam transaksi ini. - DagangNews.com








