Prestasi UEM Sunrise diyakini meningkat pada separuh kedua, sasaran jualan RM1.05 bilion mampu dicapai – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi UEM Sunrise diyakini meningkat pada separuh kedua, sasaran jualan RM1.05 bilion mampu dicapai – RHB Research

UEM Sunrise/Gambar DagangNews
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Prestasi UEM Sunrise Bhd dijangka mengukuh pada separuh kedua tahun ini, didorong pelupusan tanah serta aset bukan teras selain sumbangan jualan daripada projek Subiaco di Perth dan beberapa pelancaran baharu, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan “beli” terhadap saham pemaju hartanah itu dengan harga sasaran RM1.28, iaitu lebih tinggi berbanding saranan firma penyelidikan yang lain.

 

“Dengan jualan separuh pertama 2025 (1H25) mencecah RM649 juta, UEM Sunrise berpotensi besar mencapai sasaran jualan tahunan RM1.05 bilion menjelang akhir tahun.

 

“Prestasi syarikat turut disokong oleh sambutan positif terhadap projek Subiaco serta hasil jualan daripada projek baharu yang dilancarkan,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Dalam tempoh suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2Q25), UEM Sunrise mencatatkan jualan dan bil kemajuan lebih rendah daripada jangkaan.

 

Namun, RHB Research menjangkakan momentum yang lebih baik pada separuh kedua akan mengimbangi kelemahan tersebut.

 

Sementara itu, CIMB Research dan Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research) pula mengambil pendekatan lebih berhati-hati, mengekalkan saranan “pegang” masing-masing dengan harga sasaran RM0.86 dan RM0.78.

 

CIMB Research berkata prestasi jangka pendek UEM Sunrise bergantung kepada pelaksanaan inisiatif pemangkin termasuk kebangkitan semula projek Collingwood di Melbourne dan pembangunan Gerbang Nusantara.

 

HLIB Research pula menyemak turun unjuran kewangan FY25, FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak -16.5%, -3.6% dan -2.1% berikutan jangkaan jualan lebih rendah serta bil kemajuan lebih perlahan.

 

Bagaimanapun, HLIB Research berkata, projek utama di Lembah Klang seperti KAIA Heights Fasa 1 dan Residensi AVA yang telah siap serta pelancaran baharu Aspira Hills dan Allegro dijangka membantu mengekalkan momentum pengebilan pada separuh kedua tahun ini.

 

Secara keseluruhan, prospek UEM Sunrise untuk 2H25 kekal positif dengan sokongan projek baharu, jualan luar negara serta strategi pelupusan aset, meskipun cabaran jualan dan persekitaran pasaran hartanah masih wujud.- DagangNews.com