Prestasi Solarvest dijangka terus kukuh susulan siri pertemuan dengan 13 pelabur institusi - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi Solarvest dijangka terus kukuh susulan siri pertemuan dengan 13 pelabur institusi - Maybank IB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis – Solarvest Holdings Bhd dijangka memasuki fasa pertumbuhan lebih baik disokong oleh prestasi projek semasa, buku pesanan yang kukuh serta minat pelabur institusi yang ditunjukkan melalui siri pertemuan dengan 13 pelabur di Singapura pada 3 hingga 4 Disember, menurut Maybank Investment Bank.

 

Pegangan pelabur institusi asing dalam syarikat itu kini berada pada paras 7% setakat Oktober 2025.

 

Maybank IBG berkata, pihaknya menaikkan unjuran pendapatan Solarvest bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 sebanyak 3% hingga 7% susulan pelarasan kepada garis masa projek semasa serta jangkaan margin lebih baik. 

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran berdasarkan penjumlahan bahagian (SOP-TP) dinaikkan kepada RM3.67 daripada RM3.54 selepas pelarasan dibuat.

 

Firma itu turut memberikan skor ESG 85 daripada 100 kepada Solarvest berdasarkan penilaian terhadap laporan tahunan FY25 syarikat.

 

“Pertumbuhan pendapatan Solarvest disokong oleh buku pesanan semasa berjumlah RM1.6 bilion, bersamaan 3.6 kali hasil segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk FY25. 

 

“Syarikat itu mensasarkan buku pesanan lebih besar pada paras RM2.5 bilion hingga RM3 bilion menjelang akhir FY26,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Peluang penambahan buku pesanan dalam masa terdekat turut dijangka datang daripada pakej EPCC projek di bawah LSS5+, termasuk penyertaan Solarvest dalam projek solar 470MWac bersama Malakoff yang telah diumumkan sebelum ini. 

 

t

 

Menurut Maybank IBG, projek berskala besar (utility-scale) akan terus memperkukuh kedudukan Solarvest sebagai peneraju pasaran, memandangkan syarikat secara konsisten mengekalkan sekitar 30% pegangan pasaran dalam projek solar berskala utiliti di Malaysia.

 

“Bagi jangka sederhana, perkembangan baharu dijangka dipacu oleh pelancaran projek penyimpanan tenaga skala utiliti (MyBeST) serta LSS6 berkapasiti dua gigawatt (GW), yang dianggarkan membuka peluang EPCC bernilai RM7 bilion hingga RM10 bilion sepanjang 2026 hingga 2027.

 

“Dalam masa yang sama, Solarvest sedang membina kedudukan kukuh dalam program CRESS melalui rangka kerja pelaburan bersama 1.5GW dengan Brookfield. 

 

“Kerjasama itu dijangka membuka peluang bekalan tenaga boleh baharu kepada syarikat teknologi global seperti Microsoft, Google dan Amazon yang ingin mengurangkan pelepasan karbon rangkaian pusat data mereka di Malaysia,” kata firma tersebut.

 

Perancangan projek pertama CRESS dijangka bermula pada separuh pertama 2026, yang dianggar memberi Solarvest nilai kerja EPCC berkesan sekitar RM3 bilion dalam tempoh lima tahun.

 

Kapasiti semasa Solarvest mampu mengendalikan 15 projek berskala utiliti secara serentak. 

 

Ketika ini, syarikat mempunyai 12 hingga 13 projek utiliti dalam perancangan, dan menyiapkan lima projek CGPP menjelang akhir 2025 dijangka memberi ruang kapasiti baharu.

 

Maybank IBG turut menjangkakan 2HFY26 akan digerakkan oleh sumbangan projek CGPP bernilai RM344.9 juta serta projek C&I dan kediaman bernilai RM231.8 juta.

 

Margin keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen EPCC dijangka kekal kukuh sekitar 16%, selari dengan margin 1HFY26, memandangkan sebahagian besar peralatan dan panel telah diperoleh lebih awal.

 

Sementara itu, pengiktirafan hasil projek LSS5 berjumlah RM1 bilion dijangka bermula pada suku keempat FY26 dengan sebahagian besar sumbangan dijangka dalam FY27 dan FY28. 

 

Namun margin PBT projek LSS5 dijangka normal semula kepada 8% hingga 10%, berbanding margin segmental 16.3% pada 1HFY26, susulan kenaikan harga modul solar kepada AS$0.10 hingga AS$0.11 sesaham watt pada 2026 berikutan dasar anti-involution China yang menyekat lambakan pasaran dan kelebihan kapasiti.

 

Maybank IBG berkata, kenaikan harga modul telah diambil kira awal oleh pemain EPCC termasuk Solarvest, yang sudah mengunci harga perolehan untuk buku pesanan sasaran RM2.5 bilion hingga RM3 bilion.

 

Berdasarkan penilaian baharu, harga sasaran SOP Solarvest dinaikkan kepada RM3.67, bersamaan 31 kali unjuran pendapatan 2027. 

 

Firma itu mengekalkan pandangan positif terhadap Solarvest kerana kedudukan kukuhnya dalam sektor tenaga boleh baharu serta manfaat langsung daripada agenda peralihan tenaga negara.

 

Solarvest kini memperoleh lebih 95% pendapatannya daripada projek tenaga boleh baharu di Malaysia, namun giat meneroka pasaran serantau dengan tender luar negara sekitar 1.1GWp bernilai RM2 bilion hingga RM3 bilion merangkumi Vietnam, Filipina, Brunei, Taiwan dan beberapa negara ASEAN lain. - DagangNews.com