KUALA LUMPUR 27 Ogos - Untung bersih UOA Development Berhad berpontesi naik antara 14% hingga 17% bagi FY25-FY27 disokong prestasi positif pada 1HFY25 selain prospek pendapatan berulang yang stabil, menurut penganalisis.
RHB Research berkata, faktor tambahan yang menyumbang kepada unjuran positif ini termasuk pelancaran projek sulung syarikat di Johor Bahru menjelang akhir tahun.
Katanya, semakan semula unjuran itu merangkumi peningkatan keuntungan sebanyak 15% untuk FY25, 14% untuk FY26, dan 15% untuk FY27.
Firma penyelidikan itu berkata, keputusan itu dibuat selepas UOA Development mencatat prestasi kewangan 1HY25 yang melebihi jangkaan, terutamanya hasil penjimatan kos daripada penyiapan projek Laurel Residence lebih awal tahun ini.
"Kumpulan itu dijangka menerima manfaat daripada pelancaran projek di Johor Bahru yang terletak berhampiran stesen Sistem Transit Rapid (RTS) dan akan disambungkan melalui jejantas terus ke terminal pengangkutan tersebut.
"Pratonton awal projek itu telah dimulakan dan minat pembeli dilaporkan memberangsangkan, dengan harga jualan purata sekitar RM1,200–1,250 sekaki persegi – sejajar dengan kadar pasaran semasa bagi projek bertingkat tinggi di kawasan sekitar," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran RM2.08 sesaham.
Sementara itu, MBSB Research berkata, projek di Johor Bahru dilihat berpotensi menjadi pemangkin utama kepada momentum jualan baharu kumpulan pada masa akan datang.
Katanya, pelancaran projek baharu itu akan memainkan peranan penting dalam mengekalkan pertumbuhan jualan selepas sokongan kukuh daripada projek Bamboo Hills Residence, yang menyumbang 65% daripada jumlah jualan baharu sebanyak RM413 juta dalam 1HFY25.
Firma penyelidikan itu berkata, projek di Johor ini merupakan langkah strategik pertama UOA Development dalam pasaran hartanah berstrata di selatan tanah air.
"Lokasinya yang strategik serta skala pembangunan yang besar dijangka menarik minat pembeli tempatan mahupun pelabur luar, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat di luar Lembah Klang," katanya.
Firma penyelidikan mengekalkan saranan "beli" ke atas UOA Development dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.04, berdasarkan prospek pertumbuhan yang stabil, syarikat turut menampilkan profil kewangan kukuh dengan kedudukan tunai bersih serta hasil dividen menarik sekitar 5.6%.- DagangNews.com








