KUALA LUMPUR 26 Ogos – Prospek Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI) bagi tahun kewangan 2026 dilihat positif, didorong oleh pemulihan segmen automotif, permintaan berterusan bagi pelayan AI, serta pengembangan ke pasaran robotik, menurut penganalisis.
CIMB Research berkata, langkah itu dijangka akan terus meningkatkan pendapatan dan menyokong strategi pelaburan teknologi baharu syarikat.
Firma penyelidikan itu berkata, jualan dan keuntungan suku pertama FY26 (1Q26) dijangka meningkat suku-ke-suku, dipacu permintaan pelayan yang kukuh, pengisian semula pesanan dalam pasaran automotif China dan lonjakan permintaan pakej silikon karbida daripada sektor telekomunikasi Amerika Syarikat (AS).
CIMB Research juga mengekalkan saranan “beli” ke atas MPI dengan harga sasaran tidak berubah pada RM28.50 sesaham.
“Bagi suku keempat FY25 (4Q25), hasil automotif MPI meningkat 12%, pertumbuhan berturutan pertama sejak 4Q24 berikutan pemulihan pesanan di China.
“Namun secara keseluruhan, hasil automotif FY25 susut 12% tahun-ke-tahun (y-o-y). Sebaliknya, segmen industri mencatatkan pertumbuhan kukuh 19% y-o-y, sekali gus meredakan kelembapan automotif,” kata CIMB Research dalam nota kajiannya.
Firma itu turut menjangkakan pakej pelayan AI bakal menyumbang sehingga 20% hasil kumpulan bagi FY26, dipacu peningkatan pengeluaran modul kuasa untuk Infineon dari Jerman bermula April 2026.
Sementara itu, TA Securities turut berkongsi pandangan positif dengan menyatakan segmen automotif dijangka terus berada dalam landasan pemulihan walaupun pada kadar perlahan.
“Pakej pelayan AI dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong permintaan kukuh terhadap AI generatif.
“Walaupun operasi di China dijangka kekal menguntungkan meskipun persaingan harga sengit, MPI memberi amaran kemungkinan pengenaan tarif semikonduktor tinggi oleh AS boleh menjejaskan rantaian bekalan global,” katanya.
Seiring prospek bertambah baik, TA Securities menyemak semula harga sasaran untuk MPI daripada RM21.63 kepada RM27.20, namun mengekalkan penarafan “tahan” (hold).
“Dengan kedudukan tunai bersih sekitar RM988 juta, MPI akan terus melabur dalam kilang baharu dan teknologi baharu bagi merebut gelombang peluang seterusnya.
“Antara projek utama termasuk pembinaan kilang teknologi wide-bandgap di Ipoh dan kilang baharu di Suxiang, China yang dijangka memulakan pengeluaran tidak lama lagi,” kata firma itu..- DagangNews.com








