KUALA LUMPUR 21 Mei - Anak syarikat Sime Darby Bhd, Sime Darby Industrial (SDI), kini menjadi penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan kerana prestasi yang kukuh di Australia, pelaburan yang meningkat dalam sektor perlombongan, serta pendapatan tinggi daripada perkhidmatan selepas jualan dan sewaan.
CIMB Securities berkata, SDI menyumbang 63% daripada keseluruhan pendapatan kumpulan, dengan margin keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) yang kukuh.
Nilai SDI juga dianggarkan antara RM10 bilion hingga RM12 bilion sekiranya dinilai secara berasingan.
Menurut CIMB Securities, Australia kekal sebagai pasaran terpenting untuk SDI, menyumbang 53% keuntungan teras kumpulan dan 33% daripada jumlah hasil pada FY24 yang berakhir 30 Jun lalu.
Dalam bahagian industri, operasi di Australia menyumbang 77% daripada pendapatan SDI dan 87% PBIT teras pada FY24, meningkat berbanding 60% dan 67% pada FY19.
"SDI kini merupakan satu daripada dua pengedar utama peralatan berat jenama Caterpillar di dunia.
"Pertumbuhan SDI didorong oleh permintaan tinggi di Australia, peningkatan perbelanjaan dalam perlombongan serta pengambilalihan strategik," kata CIMB Securities dalam satu nota kajian.
Jelasnya, pendapatan SDI juga dipacu oleh perkhidmatan selepas jualan dan penyewaan peralatan, yang kini menyumbang 63% daripada hasil bahagian industri.
"Segmen ini memberi keuntungan dua hingga tiga kali lebih tinggi berbanding jualan mesin baharu.
"Ia juga menjana pendapatan berterusan kerana bilangan mesin yang digunakan semakin banyak dan sering dibaik pulih," katanya.
Dengan kemajuan digital, peningkatan jualan selepas perkhidmatan dan pelaburan dalam kemudahan, SDI dilihat sebagai peluang pelaburan yang kukuh dalam sektor industri.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' untuk saham Sime Darby, dengan harga sasaran RM3 serta menjangkakan dividen menarik sebanyak 7% pada 2025 dan 7.3% pada 2026.
Pertumbuhan Sime Darby turut disokong oleh pemulihan perniagaannya di China dan penjimatan kos selepas bergabung dengan UMW Holdings Bhd. - DagangNews.com








