Prestasi Frontken pada 2HFY25 diyakini meningkat disokong perkembangan kemudahan baharu, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi Frontken pada 2HFY25 diyakini meningkat disokong perkembangan kemudahan baharu, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Frontken Corp Berhad diyakini mencatatkan prestasi lebih kukuh pada separuh kedua 2025 (2HFY25) disokong trend bermusim dan perkembangan kemudahan baharu, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia juga disokong peningkatan permintaan bagi nod termaju dan perancangan untuk membina kemudahan baharu setinggi lapan tingkat.

 

"Pihak pengurusan turut mendedahkan, kumpulan itu sedang meneroka peluang baharu penggabungan dan pengambilalihan (M&A) di Amerika Syarikat (AS) susulan kegagalan perjanjian pengambilalihan sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian.

 

Maybank IB berkata, keuntungan teras bagi 1HFY25 meningkat sebanyak 39% tahun ke tahun (YoY) kepada RM82 juta — mengatasi jangkaan dan sejajar dengan konsensus, masing-masing merangkumi 51% daripada anggaran FY25 dan 48% daripada unjuran pasaran.

 

Katanya, hasil meningkat sebanyak 5% kepada RM289 juta, dipacu prestasi yang lebih kukuh di Taiwan (+15%) manakala Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 19%, Singapura (-17%) dan Filipina (-0.4%).

 

Firma penyelidikan itu berkata,  pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) merosot sebanyak 2.4 mata peratusan kepada 31.6%, sebahagian besarnya disebabkan tekanan tukaran mata wang asing di Taiwan.

 

Bagaimanapun, jika impak tukaran mata wang asing diketepikan, margin EBIT seharusnya mencecah 38.2%, dengan margin keuntungan teras meningkat sebanyak 6.9 mata peratusan YoY kepada 28.4%.

 

"Peningkatan keuntungan itu dipacu margin lebih baik hasil daripada gabungan produk yang lebih menguntungkan," katanya.

 

Maybank IB menaikkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 sebanyak 2% bagi mencerminkan margin yang lebih kukuh daripada jangkaan.

 

"Kami terus menyukai Frontken kerana pendedahannya dalam pasaran khusus semikonduktor termaju, pengembangan margin yang konsisten, serta unjuran pendapatan yang kukuh dan berdaya tahan.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM5.19 sesaham," katanya. - DagangNews.com