KUALA LUMPUR 29 Julai – Eco-Shop Marketing Bhd mencatat prestasi kewangan lebih kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025 (FY25), apabila keuntungan bersih terasnya melonjak 17 peratus kepada RM214 juta, disokong oleh pengembangan margin keuntungan kasar (GPM) kepada 28.2 peratus, kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, pencapaian itu melebihi 105 peratus daripada unjuran setahun penuh yang dibuat sebelum ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan Eco-Shop sebagai peneraju dalam segmen kedai barangan murah yang semakin berkembang di Malaysia.
“Sepanjang tahun, pendapatan kumpulan meningkat 16 peratus kepada RM2.8 bilion, didorong oleh pembukaan 74 kedai baharu.
“Bagaimanapun, jualan kedai sedia ada susut 0.4 peratus, dengan penurunan lebih ketara sebanyak lapan peratus pada suku keempat susulan pelarasan harga pada April,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Menurut RHB Research, peningkatan GPM sebanyak 1.8 mata peratusan telah membantu mengimbangi kos operasi yang lebih tinggi, termasuk kesan daripada kenaikan gaji minimum negara.
Firma itu mengekalkan saranan ‘Beli’ ke atas saham Eco-Shop dengan harga sasaran RM1.51 dengan jangkaan potensi kenaikan sebanyak 12 peratus dan unjuran hasil dividen sebanyak dua peratus bagi FY26.
“Eco-Shop kini memberi tumpuan kepada pembukaan sekurang-kurangnya 70 kedai baharu setiap tahun untuk meneroka pasaran yang belum diterokai dan mengukuhkan lagi kedudukan pasaran,” katanya.
Langkah strategik lain termasuk pelaksanaan kempen pemasaran yang disasarkan serta penyertaan dalam program Sumbangan Asas Rahmah, di mana 168 cawangan telah diluluskan dan 81 daripadanya telah diaktifkan.
“Strategi ini dijangka membantu menarik lebih banyak trafik pelanggan dan menyokong pertumbuhan jangka panjang Kumpulan,” menurut firma itu. - DagangNews.com








