Press Metal jangka pengeluaran alumina meningkat susulan pengembangan kapasiti di 3 negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Press Metal jangka pengeluaran alumina meningkat susulan pengembangan kapasiti di 3 negara

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mei — Press Metal Aluminium Holdings Berhad menjangkakan pengeluaran alumina global mampu terus meningkat positif susulan ramalan berlaku pengembangan kapasiti penapisan di Indonesia, India dan China.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Koon Poh Keong berkata, unjuran positif itu akan dapat menyeimbangkan masalah jumlah kecil bekalan alumina yang cukup ketat dan dijangka mungkin terus berkurangan lagi pada tahun ini.


Peningkatan bekalan katanya, mendorong penurunan harga alumina, dan mengurangkan tekanan ke atas kos pengeluaran walaupun menimbulkan cabaran operasi secara ketara kepada pengeluar aluminium di seluruh dunia pada 2024.


"Kenaikan harga sebelum ini dipacu gangguan bekalan sementara, peningkatan kos pengangkutan serta diburukkan oleh kesesakan pelabuhan dan ketegangan geopolitik," katanya dalam laporan tahun kewangan syarikat berakhir 31 Disember 2024.


Poh Keong berkata, harga pasaran purata alumina, iaitu bahan mentah utama dalam pengeluaran aluminium, ialah AS$501 (RM2,104) setiap tan, atau 21 peratus daripada purata harga aluminium pada 2024 berbanding 15 peratus pada 2023.


Bagaimanapun kata beliau, struktur kos Press Metal masih lagi terlindung daripada kesan penuh harga pasaran global berikutan inventori alumina yang lebih rendah.


Walaupun harga alumina mula berkurangan menjelang pada akhir 2024 katanya, risiko adalah kekal, terutama dalam penyumberan bauksit yang disebabkan perubahan dasar dan gangguan bekalan.


Beliau berkata Press Metal, sebagai pengeluar aluminium bersepadu terbesar di Asia Tenggara, telah mempergiatkan tumpuan bagi memanfaatkan aset alumina huluan dan meningkatkan keupayaan integrasi menegak.


"Dengan perolehan bekalan bahan mentah yang stabil dan mengoptimumkan proses pengeluaran, kami menyasarkan untuk mengurangkan kesan turun naik harga dan mengukuhkan margin operasi syarikat," kata Poh Keong.


Pada September 2024, Press Metal mengumumkan penyertaan ekuiti sebanyak 80 peratus terhadap kilang penapisan alumina yang baharu di Indonesia dikenali sebagai PT KAN dan dijangka mula beroperasi dalam masa dua tahun.


Ia direka untuk kapasiti pengeluaran tahunan sehingga 1.2 juta tan setahun, dengan potensi boleh ditingkatkan lagi pada masa hadapan serta mengurangkan pergantungan syarikat kepada pembekal dan peniaga pihak ketiga.


Pengembangan huluan itu akan meningkatkan bekalan alumina dan kelebihan daya saing merentasi rantaian nilai aluminium serta pendekatan berkesan ke arah memastikan sara diri tinggi dan bekalan stabil bagi keperluan alumina.


“Berdasarkan jarak dekat kilang penapisan di Indonesia dengan fasiliti peleburan kami di Sarawak, Press Metal menjangkakan penjimatan kos akan mengoptimumkan lagi operasi keseluruhan kami,” kata Poh Keong. - DagangNews.com