KUALA LUMPUR 21 Ogos - Pengeluar aluminium terbesar di Asia Tenggara, Press Metal Aluminium Holdings Berhad mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 6% kepada RM4.19 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25), berbanding RM3.95 bilion dalam tempoh sama tahun lalu didorong jumlah jualan lebih tinggi.
Bagaimanapun, kumpulan itu berkata, hasil kumpulan itu susut sebanyak 4% kepada RM483.6 juta berbanding RM505.8 juta pada 2QFY24 disebabkan kos input bahan mentah lebih tinggi - susulan penggunaan inventori yang dibeli pada harga yang lebih mahal – serta sumbangan lebih rendah daripada syarikat sekutu dan cukai yang meningkat.
Bagi tempoh separuh tahun pertama tahun kewangam 2025 (1HFY25), pendapatan terkumpul naik 7% kepada RM8.09 bilion, manakala untung bersih naik 3% kepada RM945.3 juta. Seiring dengan keputusan suku ini, syarikat turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 2.0 sen sesaham, yang akan dibayar pada 29 September 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Tan Sri Paul Koon berkata, sentimen pasaran masih berhati-hati akibat ketidaktentuan makroekonomi global, walaupun ketegangan perdagangan menunjukkan tanda-tanda semakin reda.
"Permintaan global masih mencatat pertumbuhan sederhana tahun ke tahun, disokong oleh kekangan bekalan aluminium dunia yang membantu menstabilkan harga logam.
"Risiko geopolitik yang berterusan turut menyumbang kepada ketidaktentuan bekalan, manakala harga bahan mentah yang lebih rendah memberi kesan positif kepada operasi peleburan kami," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, permintaan semasa didorong terutamanya oleh aplikasi berkaitan tenaga boleh diperbaharui dan strategi penambahan inventori secara just-in-time.
Katanya, walaupun ketidaktentuan tarif Amerika Syarikat (AS) terus memberi kesan kepada inflasi dan permintaan hadapan pengguna, potensi langkah rangsangan kerajaan dan penurunan kadar faedah AS dijangka menyuntik semula keyakinan terhadap pertumbuhan global.
Dengan sifat unik aluminium seperti ringan, tahan karat, konduktor haba dan elektrik, serta keupayaan pelepasan haba, Press Metal yakin sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) serta industri baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan pusat data akan menjadi pemacu utama permintaan dalam jangka panjang. - DagangNews.com








