Premier Sarawak sambut baik cadangan pembukaan semula laluan penerbangan Kuching-Pontianak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Premier Sarawak sambut baik cadangan pembukaan semula laluan penerbangan Kuching-Pontianak

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 25 April - Laluan penerbangan Kuching-Pontianak bakal diaktifkan semula susulan perbincangan antara Konsul Jeneral Indonesia, Raden Sigit Witjaksono, dan Premier Serawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

Semasa lawatan hormat dan perpisahan kepada Premier Sarawak, Raden Sigit yang turut mencadangkan pembukaan laluan penerbangan baru ke Balikpapan, Kalimantan Timur, selaras dengan pembangunan ibu kota baru Indonesia, Nusantara (IKN).

 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari menyambut baik cadangan untuk menambah baik sambungan penerbangan antara Kalimantan dan Sarawak, dan berharap ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

 

Konsul Jeneral Indonesia, Raden Sigit, yang akan menamatkan perkhidmatan pada 30 April 2025, menyatakan penghargaan atas kerjasama yang erat antara Indonesia dan Sarawak sepanjang tiga tahun perkhidmatannya.

 

"Kerjasama antara Indonesia dan Sarawak sangat baik, terutama dalam dua tahun terakhir di mana banyak inisiatif dan aktiviti dilaksanakan bersama, khususnya dalam sektor ekonomi dan sosial-budaya," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

parafrasa

 

 

Beliau turut menyuarakan harapan agar hubungan dua hala antara Sarawak dan Indonesia terus berkembang di bawah kepimpinan penggantinya, serta menegaskan akan menyampaikan kepada penggantinya supaya meneruskan usaha memperkukuhkan kerjasama sedia ada, termasuk di kawasan sempadan.

 

Dalam pertemuan tersebut, Raden Sigit turut menekankan kepentingan kerjasama berterusan dalam sektor tenaga antara kedua-dua wilayah, terutamanya dalam pembekalan tenaga hidroelektrik dari Sarawak ke Kalimantan.

 

"Peningkatan kerjasama dalam sektor tenaga, termasuk pembekalan tenaga hidroelektrik, adalah satu aspek strategik yang memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak," katanya.

 

Selain itu, beliau juga menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas sokongan semasa pelaksanaan pilihan raya Indonesia tahun lalu yang berlangsung dengan lancar dan aman.

 

Beliau berkata, kelancaran proses pilihan raya Indonesia tahun lalu tidak mungkin dapat dicapai tanpa kerjasama erat daripada pihak berkuasa tempatan, memandangkan sebanyak 52 pusat pengundian dibuka di Sarawak.

 

Selepas menamatkan perkhidmatannya, Raden Sigit akan kembali ke Jakarta untuk meneruskan tugas di Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia.- DagangNews.com